MASIHKAH KITA INGAT PEMBUNUHAN DI KHAN SHEIKHOUN?

WhatsApp Image 2018-04-05 at 10.07.26

Masyarakat antarabangsa tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan penggunaan senjata kimia oleh regim Bashar al Assad dan sekutunya ke atas orang awam di Syria.

Pakar senjata kimia yang juga Pengarah Doctor Under Fire, sebuah pertubuhan bukan kerajaan di Britain, Hamish de Bretton-Gordon kecewa kerana “pantang larang”penggunaannya sejak 100 tahun lalu, kini berleluasa.

Bahkan katanya, Amerika Syarikat membiarkan perkara itu berlaku tanpa bertindak dengan sepatutnya.

“Selepas serangan di Khan Sheikhoun, pentadbiran Trump telah melancarkan beberapa peluru berpandu Tomahawk untuk memusnahkan pesawat yang telah digunakan untuk mengebom bandar berkenaan. Selain dari itu, mereka lakukan usaha yang amat sedikit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan khas yang diterbitkan Al Jazeera selepas setahun serangan senjata kimia oleh regim Bashar ke atas orang awam di Khan Sheikhoun pada 4 April 2017, yang membunuh lebih 80 nyawa.

Jelasnya lagi, usaha untuk mengumpul bukti yang kukuh oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan bebas seperti Organisation for the Prohibition of Chemical Weapons (OPCW) amat sukar dilakukan kerana tidak dibenar memasuki Syria.

Katanya, dakwaan dibuat berdasarkan rakaman visual yang dimuat naik di laman sosial serta laporan daripada sukarelawan di lapangan.

Jelasnya, ketiadaan bukti fizikal menyebabkan laporan penggunaan senjata kimia dimanipulasi regim dan penyokongnya termasuk dalam sesetengah kes, mereka mendakwa apa yang dimuatnaik hanya “lakonan”.

“The Union of Syrian Medical Care and Relief Organizations (UOSSM) mempunyai lebih kurang 50 hospital di seluruh Syria, dan kami merawat banyak kes kecederaan membabitkan penggunaan senjata kimia dalam serangan yang dilancarkan regim.

“Apabila mereka datang ke hospital, mangsa menerima rawatan daripada petugas perubatan profesional, jadi kami boleh beritahu jika ia palsu. Jadi kami tidak nampak sebarang lakonan.

“Saya amat yakin rakyat Syria yang muncul di video telah menunjukkan trauma akibat serangan senjata kimia adalah benar dan itu yang mereka tunjukkan,” tegasnya.

Tambah De Bretton-Gordon, berdasarkan semua bukti yang dia telah kumpul sejak lebih empat setengah tahun lalu, bersama rakaman video yang dimuatnaik di laman sosial, rakaman saksi dan contoh yang telah dianalisis, ia menunjukkan regim bertanggungjawab sepenuhya melancarkan serangan senjata kimia ke atas orang awam dan kumpulan anti kerajaan.

Ketika ditanya sama ada kumpulan penentang mempunyai keupayaan untuk melancarkan serangan senjata kimia seperti yang didakwa regim Bashar dan penyokongnya, ini jawapannya.

“IS (juga dikenali sebagai ISIS) telah melancarkan serangan kimia ke atas orang awam di dua tempat iaitu Syria dan Iraq, khususnya bagi memerangi Peshmerga (pejuang Kurdish) dan kemungkinan juga kumpulan yang dikaitkan dengan al Qaeda seperti Jabhat Fateh al Sham (sebelum ini dikenali sebagai al Nusra Front) memilikinya juga.

“Tetapi bagi kumpulan seperti Free Syrian Army (FSA), ia tiada sebarang bukti,” jelasnya.

Kongsi Artikel Ini