“Mantap juga sekolah ni.”

79117269_1038813513124234_9030762132521615360_o

Buat julung kalinya aku menjejakkan kaki ke Sekolah Ulfah, aku terkesima.

Kelihatan dua buah bas terletak dihadapan pintu masuk sekolah. Bangunan yang bagus dan ada ‘court’ di luar perkarangan untuk pelajar beriadah.

“Mantap juga sekolah ni.”

Ia boleh dikatakan sekolah yang agak kondusif bagi menimba ilmu untuk sebuah negara yang bergolak seperti Syria, jika dibandingkan dengan sekolah yang pernah aku lawat sebelum ini.

Kami disatukan bersama pelajar dan guru dalam sebuah perhimpunan di ‘court’ yang aku sebut tadi. Hingar. Aku berdiri di suatu sudut yang agak terpencil dari yang lain untuk mendapatkan pencahayaan yang baik, demi gambar dan video yang unggul dan bermutu. Mata – mata mula liar memandang lelaki ‘asian look’ ini, seolah mempersoalkan kehadirannya.

Usai berzikir munajat dan berselawat, majlis diteruskan dengan ucapan dari seorang guru yang segak. Barangkali sang pengetua atau PK HEM. Ucapan dalam Bahasa Arab itu berakhir dengan sebuah tepukan gemuruh dari pelajar – pelajar, sambil memandang kami lalu berbisik sesama mereka. Entah apa yang dikatakan guru tersebut tentang kami, aku yakin ia tentu suatu yang enak didengar.

“Assalam alaykum. Ma ismuka?”

Aku menegur salah seorang pelajar dalam Bahasa Arab yang terbaik aku miliki.

“Waalaykum salam brother. I’m Muhammad. You’re from Syria Care?”

Kata – katanya dalam Bahasa Inggeris yang agak pelat membuat jiwaku sedikit sebak. Bukan mudah nak jumpa anak Syria yang mampu ber-lingua franca dengan lancar. Ternyata sekolah Ulfah sudah memberi yang terbaik.

Seorang demi seorang mendekatiku untuk beramah mesra. Sempat aku merakam beberapa keping gambar dan video bersama mereka buat kenang – kenangan. The rest is history.

P/s: Sekolah Ulfah yang terletak di Atma ini terbina atas hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui Syria Care. Ia kini dalam fasa pembesaran bagi menyantuni lebih ramai lagi pelajar untuk masa hadapan.

Ezzwan Mardzi
Petugas Misi Kemanusiaan Syria Care 11.0
Atma, Syria
25 November 2019

#misikemanusiaansyriacare11
#bantuanmusimsejuk7
#inibukankerjamainmain

Kongsi Artikel Ini