Puan Rabia Madaraty berasa bersalah kerana tiba-tiba letrik yang baru sahaja datang terputus lagi. Baru sahaja beberapa minit sebelum itu lampu di bilik kami menyala dan dia gembira sambil memberitahu kami untuk caj telefon dan powerbank kami.
“Letrik akan datang setengah jam dalam sehari atau paling lama sejam. Tetapi hari ini sekejap pula dan terputus-putus. Beginilah hidup kami sekeluarga sejak 14 tahun yang lalu. Letrik tiada, air tiada, alat pemanas pun kadang-kadang tak dapat kami nyalakan. Semuanya terhad dan mahal”.
Mungkin dia dah terpaksa membiasakan diri dengan keadaan ini namun terasa malu kerana kami sebagai tetamu terpaksa berhadapan dengan situasi ini.
”Jangan risau, kami OK. Allah la yuwaffiquka ya Bashaar! Kau telah musnahkan negara Syria dan merosakkan dan menyusahkan semua rakyat Syria” saya menyambut kata-katanya. Itu yang banyak saya dengar mereka ucap. Saya pun ikut sama kerana saya walaupun tidak melalui apa yang mereka lalui secara fizikal merasai penderitaan mereka walaupun sekadar jadi pemerhati dari jauh.
Sewaktu di bawah pemerintahan Hafez Al Assad, dalam 24 jam mereka mungkin terputus letrik selama sejam sajaha. Tetapi sejak Bashaar memerintah, keadaan jadi sebaliknya. 23 jam tanpa letrik dan sejam atau kurang dalam sehari yang ada letrik. Dan ikut pengalaman kami yang cuba caj talipon pada waktu itu, letriknya pun perlahan. Lambat nak penuh bateri!
“Dulu saya miliki rumah yang cantik. Setelah serangan udara bertambah di kawasan ini, kami terpaksa berpindah ke kawasan lain. Setakat ini dalam tempoh 12 tahun, saya dan suami dan tiga orang anak perempuan dan seorang anak lelaki kami yang masih kecil ketika itu terpaksa berpindah-randah sebanyak 16 kali Alhamdulillah ala kulli hal.”
Begitulah bila berbicara dengan mereka. Walaupun malalui kehidupan yang susah tetapi perkataan syukur tidak pernah lekang dari bibir mereka.
“Apabila kembali ke rumah kami semula, bukan sahaja sebahagiannya rosak, barang-barang dalam rumah juga dicuri oleh tentera Bashaar. Ada yang akan datang untuk mencuri tile lantai, ada yang akan datang mencuri bingkai pintu dan tingkap, ada yang akan mencuri paip air, dan yang lain akan datang mencuri wayar letrik. Hasbunallah wa ni’mal wakeel.” Rabiah berkongsi perasaannya dengan saya.
Lalu salah seorang ahli tim bertanya “Kenapa dia nak curi paip air? Apa yang dia dapat? Kalau benda lain mungkin dia jua, tapi paip tu?
“Mereka sengaja melakukan demikian untuk menyusahkan dan menyakitkan hati kami” anaknya Marah anak Puan Rabia menjawab pertanyaan kami.
“Bukan itu sahaja, jika rumah yang dimasuki ada Quran atau apa-apa yang ada kaitan dengan agama Islam, mereka akan membakar rumah tersebut. Adik saya dahulu tamat pengajian dalam Syariah dan kami menggantung sijilnya di dinding. Mereka masuk dan memecahkan frame sijilnya dan membakar semua yang ada di situ termasuklah kitab-kitab turath yang adik saya miliki yang bernilai hampir 10,000 USD. Hasbunallah wa ni’mal wakeel” begitu luahan Puan Rabia.
Kami mendengar untuk melegakan perasaannya. Kadang-kadang saya pun hilang kata-kata untuk melegakan penderitaan mereka. Namun kebersamaan rakyat Malaysia selama ini sangat-sangat mereka hargai.
Ya Allah macam tu sekali mereka memperlakukan orang-orang Sunni di sana. Saya terkedu malu. Semua yang berlaku di hadapan mata dunia, tetapi berapa ramai yang sekadar menonton tanpa melakukan apa-apa, atau mendengar tapi memilih untuk membisu?
Anda membuat pilihan apa?
Siti Sakinah binti Meor Omar Baki,
Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care 18.0,
Homs, Syria
31 Januari 2025
‘ – , , & ü’: –
: www.syriacare.org.my/Ramadan
, .
, .