Korban di Zardana lebihi 50 nyawa

Untitled
Angka korban akibat serangan udara tentera Rusia ke atas kediaman orang awam di Zardana, Idlib pada Khamis lalu meningkat kepada 51 nyawa. Manakala jumlah mereka yang cedera melebih 50 orang.
Menurut Syrian Observatory for Human Rights (SOHR), sehingga pagi Sabtu, empat lagi mangsa masih tertimbus dan usaha mencari sedang diteruskan.
“Pesawat perang, yang kelihatan seperti milik Rusia telah mensasarkan kampung Zardana di pinggir Idllib pada lewat malam dan telah menyebabkan jumlah kematian tertinggi dalam satu serangan sejak hujung Mac lalu,” kata jurucakapnya Rami Abdel Rahman.
Sementara itu, aktivis media, Omar al Hanoubi berkata, serangan dilancarkan ketika penduduk sedang menunaikan solat dan sasarannya hanya 50 meter dari masjid. Dia sendiri menyaksikan tiga hingga empat misil telah dilepaskan ke arah sasaran.
“Orang ramai dan penyelamat telah bergegas untuk menyelamat tetapi secara tiba-tiba satu lagi serangan dibuat ke kawasan sama. Seorang anggota penyelamat terbunuh dan lima yang lain cedera.
“Sebab itu jumlah mereka yang terkorban tinggi kerana mereka cuba menyelamat ketika serangan dibuat,” katanya seperti yang dilapor Middle East Eye.
Menurutnya lagi, letupan kuat menyebabkan kawah besar sedalam lima meter dan 11 bangunan musnah termasuk yang setinggi empat tingkat.
Zardana merupakan bandar penempatan awam, telah menjadi sasaran serangan udara tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya kebelakangan ini.
Sebahagian kecil kawasannya dikatakan berada di bawah pengaruh Hayat Tahrir al Sham (HTS), yang pernah menjadi sekutu al Qaeda.
Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini