Kem Rukban : Jordan cuci tangan

dds
“Sudahlah tidak membenarkan bantuan kemanusiaan melepasi sempadannya dengan Syria, dicadang pula supaya kem Rukban ditutup”.
 
Secara spontan kata-kata di atas berlegar di benak otak selepas membaca berita atas talian The New Arab di mana Jordan dilapor telah mengadakan perbincangan dengan kuasa besar supaya kem yang menempatkan lebih 60,000 pelarian itu ditutup.
 
Dalam kenyataannya pada Khamis lepas, Jurucakap Kementerian Luar Jordan, Majed al Qatarneh mengesahkan telah berlaku perbincangan antara negaranya dengan sekutu kuat regim Bashar al Assad, Rusia.
 
“Jordan dan Rusia telah mengadakan perbincangan dengan matlamat untuk mendapatkan penyelesaian asas berhubung Rukban bagi memastikan keadaan hak mereka yang pulang secara sukarela ke bandar bandar dan pekan.
 
“Jordan menyokong rancangan Rusia untuk bagi membolehkan pengosongan kem,” kata Majed sebagaimana dilapor Reuters.
Cadangan itu akan menerima syor yang dibuat Rusia untuk membenarkan pelarian kembali ke timur Syria, yang sekarang ini dikuasai semula oleh tentera regim Bashar dari cengkaman IS.
 
Manakala saki baki kumpulan anti kerajaan seperti kawasan lain yang jatuh ke tangannya, mereka akan diusir ke bahagian utara, Idlib.
Selepas perbincangan dan cadangan berkenaan tersebar, pelarian di kem berkenaan enggan pulang mereka kerana khuatir akan dibunuh.
Risiko itu tidak dapat dinafikan.
 
Dalam kenyataan sebelum ini, Ketua Syrian Centre for Legal Studies and Research (SCLSR), Anwar al Bunni, menjelaskan pembunuhan ke atas pelarian yang pulang adalah perkara biasa khususnya bagi mereka yang dahulunya berasal dari kawasan yang dikuasai kumpulan anti kerajaan.
 
Dia mengambil contoh ke atas apa yang berlaku kepada suami Bushra al Abdullah yang ditahan pengawal sempadan Syria selepas pulang dari Lubnan, Julai lalu.
Sejak dari tarikh itu, nasib yang menimpa suami wanita berkenaan, sama ada hidup atau mati tidak diketahui.
 
Kata Anwar, tiada sebarang jaminan keselamatan secara rasmi bagi melindungi mana-mana pelarian pulang ke Syria meskipun mereka digalakkan berbuat demikian.
Hakikatnya, nasib sebenar mereka yang cuba kembali semula selepas melarikan diri dari konflik masih menjadi tanda tanya.
 
Pada 30 Oktober lalu, portal milik penentang kerajaan, Zaman al Wasel melaporkan pembunuhan yang dilakukan ke atas mereka yang pulang ke negara asal dan ia dikatakan didalangi kumpulan bersenjata pro Bashar.
 
Tanpa memberikan sebarang perincian, portal itu mendakwa perbuatan itu telah didorong oleh perbezaan mazhab.
Perbuatan itu kemudian disahkan apabila Menteri Negara Mengenai Hal Ehwal Pelarian Lubnan, Mouin Merehbi membuat kenyataan mengenainya pada 4 November lalu.
 
Beliau mendakwa, sekurang-kurangnya 20 pelarian Syria dilapor dibunuh tentera regim Bashar al Assad dan konco-konconya selepas pulang ke negara asal.
 
Rentetan laporan berkenaan dan dengan cadangan yang dibuat Amman, apakah perkara itu tidak diambil kira badan dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu?
Apakah dengan penutupan kem berkenaan, ia membantu menyelesai kemelut kemanusiaan dan menjadi satu-satunya penyelesaian yang dapat membuat Jordan menarik nafas lega kerana sering menuding jari yang ancaman IS ke atas wilayahnya datang dari kem Rukban?
 
Sekiranya ia ditutup, apakah kerajaan Syria dan Rusia mempunyai rancangan konkrit serta konklusif bagi menempatkan mereka di kawasan tertentu yang mempunyai kemudahan asas lebih baik berbanding sekarang atau sekadar menghalau pelarian keluar dari situ dan membiarkan mereka terkontang-kanting di tengah sisa runtuhan bangunan?
 
Apakah keadaan benar-benar selamat untuk mereka pulang kerana sehingga kini masih terdapat ancaman dari IS yang berseteru bukan sahaja dengan tentera regim tetapi dengan hampir semua kumpulan anti kerajaan yang lain?
 
Usaha yang dibuat Jordan itu menimbulkan terlalu banyak persoalan dan dilihat sebagai satu lagi dasar pentingkan diri sendiri.
 
Memang tidak dapat dinafikan negara itu mempunyai alasan geo politik tersendiri dengan mengambil dasar yang keras bagi melindungi ancaman IS terhadap negaranya. Namun dalam konteks kemanusiaan, nyawa manusia apatah lagi sebangsa dan seagama perlu menjadi keutamaan dan diambil kira.
Amman sebelum ini telah dikritik hebat selepas enggan sama sekali membenarkan konvoi kemanusiaan memasuki Rukban dari sempadannya selepas berpuluh ribu penghuninya kelaparan dan kebuluran selepas lebih dua minggu terputus bekalan makanan.
 
Misi yang diketuai Penyelaras Kemanusiaan PBB bagi Syria, Ali al Za’tari bersama lebih 70 trak bantuan hanya berjaya sampai ke Rukban selepas mengambil perjalanan lebih jauh iaitu melalui Damsyik, meskipun kem berkenaan berada begitu hampir dengan Jordan.
Kini selepas bantuan dihantar, Jordan mencadangkan idea baru, supaya kem berkenaan ditutup.
 
Dasar keras yang dilaksananya bagi menangani isu pelarian bukan perkara baru kerana ia sentiasa mengambil langkah “keras” sehingga mengundang pelbagai kritikan antarabangsa.
 
Ia bukan setakat layanan kepada sejuta pelarian Syria yang berlindung dalam negaranya tetapi juga sekatan yang dibuat kepada mana-mana misi bantuan yang cuba menggunakan negara itu bagi menghantar bantuan kemanusiaan di seberang sempadannya.
 
Selain Rukban terdapat beberapa lagi kem pelarian yang menempatkan mangsa konflik di sempadan Syria-Jordan. Antaranya Zaatari dan Azraq.
Atas alasan keselamatan, ia menetapkan syarat semua bentuk bantuan kemanusiaan sama ada berupa logistik dan kewangan dari masyarakat antarabangsa termasuk dari agensi PBB seperti Suruhanjaya Tinggi Bagi Pelarian (UNHCR) perlu dibuat melalui kerajaan.
 
Kini, selepas membuat cadangan kepada Rusia dan cuba menyakinkan Amerika Syarikat berhubung syornya untuk menutup kem Rukban, apakah selepas ini ia akan mengambil langkah sama terhadap kem-kem lain yang berada di wilayahnya?
 
Kita tunggu!.
 
Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini