Kedinginan pada waktu malam di Syria sekarang sukar untuk mereka lalui tanpa persediaan secukupnya. Sekarang pun sudah sejuk apatah lagi apabila suhu bakal menjunam pada hari-hari akan datang.
Mereka terpaksa bergantung kepada ranting-ranting pokok zaitun jika tiada diesel, birin atau kayu api.
Ketika saya sampai ke kem itu keadaan dah mula gelap. Saya ternampak sekumpulan orang yang terdiri dari wanita,lelaki dan kanak-kanak mengerumuni unggun api lalu saya mendekati mereka seraya bagi salam. Mereka menyambut salam saya dengan senyuman dan mengajak saya bersama mereka. Walaupun saya berpakaian lebih baik dari mereka, lebih tebal dan mampu memberi kehangatan mereka tidak lokek.
Saya yang pakai baju berlapis-lapis pun masih terasa kesejukan yang mencengkam sampai ke tulang. Apa tah lagi mereka yang tiada baju seperti saya.
Pihak kami hadhir di kem yang didaftarkan atas nama NGO Syria Care untuk agihan diesel, selimut dan pek makanan. Mereka berpusu-pusu keluar mendapatkan agihan dengan gembira. Namun bantuan itu tidak mampu bertahan sehingga hujung musim sejuk ini.
Ya Allah…saya rasa sedihnya kerana tak dapat bantu lebih.
Saya tau dah banyak kali saya minta. Tetapi dengan rezeki yang kita ada, dalam kesenangan dan kenikmatan yang melimpahi kita, saya yakin awak semua mampu melakukan sesuatu buat mereka kan?
Saya sayang awak semua.
Siti Sakinah binti Meor Omar Baki
Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care 11.0
Atma, Syria
29 November 2019