Kaku atas riba…

WhatsApp Image 2019-01-29 at 3.21.11 PM

Dalam cuaca dingin di malam hari, Samah al Awwad memeluk erat bayinya ke dada untuk mengelak si kecil kedinginan.

Seketika selepas itu, dia turut terlena.

Limpahan fajar menyinsing membangunkan semula si ibu, namun waktu itu dia perasan ada sesuatu yang tidak kena di ribanya. Anak yang dipangku, kini keras dan tidak lagi bernyawa.

“Ia salah satu malam-malam yang dingin,bila Yasmeen tidur di pangkuan saya, Tiada tempat lain yang hangat selain di dada ini,walaupun kesejukan juga terasa di situ.

“Saya tidak tahu bagimana saya saya boleh tertidur, tetapi bila saya bangun ketika matahari naik, saya merasa di tangan sesuatu yang sejuk, di mana di situ saya pangku anak, dia sepatutnya panas,” kata Samah dengan nada tersekat-sekat.

Apa yang berlaku pada Yasmeen itu, adalah kes terbaru kematian bayi di kem Rukban, di tenggara Syria yang kini terkepung.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, (WHO), separuh daripada 15 anak-anak pelarian yang mati kerana kesejukan kali ini membabitkan penghuni di kem berkenaan.

Bila Samah, 33 tahun, mengandung tahun lalu, dia dan suaminya, Masoud berharap mereka akan dapat pulang ke kampung halaman atau paling tidak keluar dari kem berkenaan untuk ke hospital. Malangnya perkara itu tidak pernah berlaku.

Sejak Yasmeen dilahirkan satu setengah bulan lepas, pasangan berkenaan cuba mengharungi musim sejuk, tidur berganti-ganti dengan bayi bagi mengelak dia jatuh sakit kerana ketika dilahirkan, si kecil berdepan dengan masalah.

Ketika itu, ia hampir meragut nyawa anak dan si ibu sendiri berada dalam keadaan koma selama 24 jam.
Pengalaman yang sama pernah dilalui pasangan Saqr dan Fadilah al Mouawad yang kematian kehilangan bayi mereka Basma, tiga setengah bulan kerana kekurangan zat makanan dan bekalan ubat-ubatan.

Cerita pasangan ini, bayi mereka tidak sepatutnya dilahirkan di kem Rukban.

“Sebelum Basma dilahirkan kami cuba tinggalkan kem ini, tetapi ia mustahil berikutan kawalan ketat,” kata Saqr kepada portal Middle East Eye.

Tambahnya lagi, dia cuba mendapatkan bekalan ubat-ubatan dengan apa yang termampu dibeli dari peniaga di dalam kem.

“Saya bercakap dengan pegawai kem dan sebahagian petugas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang datang mengagih bantuan, menolong kami tetapi saya ditipu dengan janji-janji kosong yang tidak pernah dipenuhi,” luahnya.

Sejak kematian anak bongsu, Fadilah kini menumpukan perhatian kepada anak lelaki mereka, Mohammed dan Khaled.

Kedua-duanya juga berdepan dengan masalah sama, kekurangan makanan dan kelemahan sistem perlindungan badan yang menyebabkan badan mereka kurus dan cengkung.

Dia takut tragedi sama yang pernah dilalui sebelum ini berulang.

“Anakku Basma sepatutnya berada dalam bilik yang nyaman dengan susu yang cukup, tetapi semua itu tidak wujud.

“Bila saya bangun badannya telah kaku dibaluti selimut.

“Semoga Allah menempatkan rohnya di maqam yang mulia,” luah Fadilah.

Kem Rukban yang menempatkan lebih 70,000 pelarian kali terakhir mendapat bantuan dari agensi PBB pada November tahun lalu, selepas laluan ke situ disekat tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya, sejak Januari 2018.

Bagi mendapat rawatan asas di klinik, penghuninya perlu menyeberang ke Jordan. Bagaimanapun ia bukan mudah kerana Amman menutup sempadannya sejak 2016.

Nasib pelarian di kem Rukban terus terkontang-kanting.

Sehingga kini kuasa besar seperti Rusia dan Amerika Syarikat sependirian dengan Jordan, yang lebih suka ia ditutup dari mencari penyelesaian untuk memberi bantuan kepada mereka yang tersepit.

Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini