Jordan tolak pelarian baru

Untitled

Jordan akan menggunakan apa sahaja cara untuk menyekat kebanjiran pelarian baru Syria ke wilayahnya.

Menteri Negara, Jumana Ghanimat menegaskan Amman akan berusaha bagi memastikan mereka yang cuba menyelamatkan diri akan terus berada di dalam negara asal mereka.

“Semua pihak perlu bersama bagi menghadapi gelombang baru di dalam wilayah Syria,” katanya seperti dilapor AFP.

Jelasnya lagi, Amman akan bekerjasama dengan “pertubuhan” bagi memastikan perkara berkenaan dapat dilaksana.

Ulasnya hubungan baik negaranya dengan Amerika Syarikat dan Rusia juga dapat menjamin mengurangkan kesan serangan di bahagian selatan Syria sekaligus melindungi kepentingan Jordan.

Kenyataan itu menyusul selepas pemimpin Parti Buruh Britain, Jeremy Corbyn melawat Kem Zaatari.

Penolakan Jordan itu dikaitkan dengan kekangan kewangan dan infrastruktur yang dihadapinya.

Amman mendakwa telah membelanjakan AS10 bilion sejak tujuh tahun lalu bagi menampung 1.3 juta pelarian yang berlindung di negaranya.

“Sejumlah besar pelarian Syria telah kami terima yang mana dari sudut sumber kewangan dan infrastruktur tidak membenarkan kami untuk menerima gelombang baru mereka yang mencari perlindungan,” katanya.

Keadaan di bahagian selatan negara itu semakin kritikal berikutan operasi terkini tentera regim Bashar al Assad ke atas Daraa, Quneitra dan sebahagian Suweida.

Peningkatan serangan sejak minggu lalu, juga memaksa penduduknya menyelamatkan diri ke sempadan Jordan.
Kawasan segi tiga itu dianggap begitu strategik kerana turut bersempadan dengan Bukit Golan yang ditawan Israel, 50 tahun lalu.

Razali Awang 
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini