Jordan terima pelarian Syria

hh

Sejumlah 442 petugas dan anggota keluarga White Helmets berjaya dibawa keluar dari selatan Syria dan kini berada di Jordan sementara menunggu masa untuk dibawa ke negara ketiga.

Mereka tiba selepas Amman memberi lampu hijau untuk menerima mereka yang sebelum ini dibawa masuk dari wilayah Israel.

 

Tel Aviv berbuat demikian selepas Amerika Syarikat dan sebahagian negara Eropah mengemukakan permintaan khas supaya kumpulan berkenaan diberi kebenaran melepasi wilayahnya sebelum dibawa ke Jordan.

 

Menurut TRT World, kerja-kerja pemindahan telah dibantu anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan telah dibuat melalui Bukit Golan.

 

Kesemua mereka akan ditempatkan buat sementara sebelum dibawa ke Britain, Jerman dan Kanada.

 

Menurut Jurucakap Kementerian Luar Jordan, Mohammed al Kayed, kumpulan berkenaan akan berada di negaranya untuk tempoh tiga bulan.

 

White Helmets, dikenali masyarakat antarbangsa kerana misi menyelamat mangsa yang cedera di kawasan yang dikuasai kumpulan anti kerajaan di Syria.

Ia bagaimanapun tidak disenangi pentadbiran Damsyik.

 

Selain dituduh sebagai propaganda kumpulan anti kerajaan, ia menimbulkan syak wasangka pentadbiran Bashar al Assad kerana dana yang diterimanya daripada negara Barat.

Rancangan untuk membawa mereka keluar diputuskan minggu lalu selepas Sidang Kemuncak Negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Brussel, Belgium.

 

Ia dibuat kerana khuatir sukarelawan berkenaan dan anggota keluarga mereka akan menjadi sasaran kezaliman tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya selepas kawasan barat laut Syria itu berjaya dikuasainya semula.

 

Razali Awang 
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini