Jangan lupa Ghoutah….

V2syria
Awal pagi 21 Ogos 2013, penduduk Ghoutah di pinggir Damsyik, Syria, dikejutkan dengan serangan senjata kimia.
 
Serangan pertama dilancarkan ke atas Ein Tarma, yang terletak 6 kilometer di timur ibu negara itu pada jam 2.47 pagi waktu tempatan.
 
Dua minit kemudian, senjata yang sama mengenai Zamalka, yang terletak bersebelahan.
Tepat jam 5 pagi hari yang sama, serangan roket mengenai Muadhamiya yang terletak 20 kilometer dari Zamalka. Empat daripada roket gugur berhampiran Masjid Rawda manakala tiga lagi di jalanan.
 
Dalam sekelip mata, suara pekikan menahan azab memenuhi ruang di kawasan yang menjadi sasaran. Pada masa yang sama, mayat bergelimpangan dan yang terselamat menggelupur kesakitan.
 
Semua mangsa menunjukkan simptom penggunaan agen saraf di mana mereka mengalami kesukaran bernafas, kabur pengelihatan, hidung berair, muntah dan lain-lain.
Saat hiruk-pikuk dan huru-hara itu dirakam dalam pelbagai visual sebagai bukti kejahatan regim Bashar al Assad ke atas rakyatnya sendiri dan kemudian dimuat naik serta dikongsi di laman sosial.
 
Dalam tempoh singkat, angka kematian naik dari puluhan mencecah ratusan dan kemudian melebihi seribu 1,400 orang. Kebanyakan daripada mangsa terdiri daripada orang awam, khususnya kanak-kanak.
 
Segala bukti bersama laporan yang disediakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta badan bebas kemudian dikumpul penyiasat senjata kimia Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB).
Pada mesyuarat di Majlis Keselamatan, Setiasusaha Agung PBB, Ban Ki Moon berkata, serangan itu adalah satu jenayah perang.
 
Ulasnya, berdasarkan laporan yang diteliti, PBB mengesahkan senjata kimia telah digunakan dan ia kelihatan seperti sama yang pernah apa yang dilakukan Presiden Saddam Hussein ke atas penduduk Halabja pada1988 yang membunuh lebih 5,000 nyawa.
 
Selepas genap lima tahun pembunuhan beramai-ramai, keadaan tidak banyak berubah. Tiada pertuduhan dan hukuman dikenakan ke atas susuk tubuh yang bernama Bashar al Assad dan kepimpinannya di atas kematian orang awam di Syria. Apatah lagi mengheret mereka yang bersekongkol ke muka pengadilan.
 
Dari Mahkamah Jenayah Perang, Mahkamah Jenayah Antarabangsa wa ima PBB tidak mampu bertindak kerana kuasa veto Rusia di Majlis Keselamatan menjadikan mereka “kebal”.
Bahkan ia tidak berakhir di situ. Siri serangan menggunakan senjata kimia ke atas orang awam di kawasan yang masih dikuasai kumpulan anti kerajaan masih berterusan.
Terakhir, ia dilancarkan ke atas Douma pada 7 April lalu yang membunuh lebih 40 nyawa. Meskipun perbuatan itu kemudian dibalas dengan pengeboman kuasa Barat ke atas lokasi logistik senjata kimia, ia tidak menghentikan kezaliman regim ke atas orang awam.
 
Selepas serangan pertama ke atas Ghoutah, berikutan tekanan yang dikenakan, berkali-kali Damsyik mendakwa telah memusnah simpanan senjata kimia yang dimiliki. Namun ia sekadar wayang kerana senjata itu berterusan digunakan.
 
Kini, tanpa tindakan konkrit dari masyarakat antarabangsa, regim ibarat menunggu masa untuk mengulangi cara yang sama untuk menguasai saki baki kawasan kumpulan penentang khususnya di sebahagian besar wilayah Idlib kerana ia berkesan untuk membunuh ramai nyawa dalam masa singkat.
Lihat apa yang berlaku di Ghoutah, senjata kimia digunakan selepas dua tahun kebangkitan rakyat mendapat sokongan ramai untuk menuntut hak dan keadilan di atas kezaliman yang diperlakukan ke atas mereka sebelum ini.
 
Ketika itu kawasan berkenaan menjadi kubu kuat dan sebahagian Ghoutah terus bertahan dan hanya jatuh sepenuhnya pada awal tahun ini, itupun selepas serangan tanpa henti yang dibantu Rusia dan konco-konco yang lain.
 
Selepas lima tahun serangan senjata kimia, kezaliman ke atas mangsa masih tidak terbela. Apakah masyarakat antarabangsa sudah lupa atau tidak lagi mengambil kisah dengan pembunuhan beramai-ramai di pagi 21 Ogos 2013?. Atau di mata mereka nyawa rakyat Syria tiada harga dan selayaknya dibiarkan mati begitu sahaja?
 
Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini