Kebanyakan senjata yang dibekal Amerika Syarikat kepada kumpulan penentang regim Presiden Bashar Al-Assad disahkan jatuh ke tangan IS.
Conflict Armament Research, sebuah badan penyelelidikan mengesan penghantaran peralatan ketenteraan mendakwa kelengkapan seperti senjata anti kereta kebal sebelum itu telah dihantar kepada kumpulan penentang Bashar yang bertempur dengan IS.
Dakwaan itu dibuat berdasarkan pemeriksaan ke atas 40,000 senjata dan kelengkapan yang dirampas dari kumpulan itu sejak tiga tahun lalu.
“Bekalan peralatan dalam konflik Syria datang daripada pelbagai pihak luar khususnya Amerika Syarikat dan Arab Saudi yang secara tidak langsung memberi IS memiliki sejumlah besar senjata anti perisai,” petik kenyataannya yang disiarkan middleeasteye.net.
Dalam laporan yang disediakan, ia tidak dapat mengesahkan sama ada senjata berkenaan telah dijual atau dirampas oleh IS.
Di bawah pentadbiran Presiden Barrack Obama sebelum ini, White House telah melaksanakan polisi membekalkan senjata kepada kumpulan anti Bashar.
Bagaimanapun, dasar yang bermula pada 2013 itu kemudian ditamatkan, sebaik Donald Trump dilantik menggantikan beliau.
Menurut Conflict Armament Research lagi, lebih 50 peratus senjata yang digunakan IS dibuat di China dan Rusia..
Sebahagiannya diperolehi hasil rampasan pertempuran dengan tentera kerajaan Iraq dan Syria.