Impian sambut Aidiladha punah…

WhatsApp Image 2019-08-06 at 2.41.38 PM

Belum sempat menarik nafas lega, keadaan orang awam yang terperangkap di Idlib kembali sengsara seperti sedia kala selepas gencatan senjata yang diumum pada I Ogos lepas hanya mampu bertahan setakat empat hari.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan regim Bashar al Assad mengumumkan ia berakhir pada Isnin (5 Ogos 2019)

“Tentera akan menyambung semula operasi ketenteraan mereka menentang pengganas,” petik laporan agensi berita rasmi Syria SANA.

Ia tidak mengejutkan kerana sepanjang tempoh dikuatkuasa, kedua-dua pihak saling tuduh-menduduh antara satu sama lain wujudnya pencabulan.

Proses gencatan sukar dilaksana kerana tidak semua kumpulan penentang yang berada di kawasan berkenaan bersetuju untuk akur. Bahkan sepanjang tempoh empat hari ia dikuatkuasa, beberapa siri serangan dilaporkan berlaku.

“Mereka (tentera Syria menuduh apa yang mereka panggil kumpulan pengganas di Idlib menyerang kawasan orang awam.

“Sejak malam Jumaat, tentera Syria telah membayangkan tidak menjadikan kawasan awam sebagai sasaran serangan, jadi sekarang ia mengumumkan untuk tidak lagi mematuhi gencatan senjatan serta menyalahkan penentang kerana ingkar untuk mematuhi persetujuan di Sochi,” kata wartawan Al Jazeera, Zeina Khodr.

Ulas Zeina lagi, regim menjadikan orang awam sebagai sasaran di kawasan itu sebagai salah satu tekanan kepada kumpulan penentang untuk menyerah kalah.

Sejak lebih tiga bulan lepas, aktiviti harian di kebanyakan tempat di Idlib, hampir lumpuh sepenuhnya selepas diserang tanpa henti oleh tentera regim dan konco-konconya dalam usaha menguasai sepenuhnya satu-satu kawasan yang sebahagian besar masih berada di bawah kuasa dan pengaruh kumpulan anti Bashar.

Susulan perkembangan itu, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu meminta pemimpin dunia memberi perhatian dengan apa yang berlaku.

Idlib yang bersempadan dengan Turki, kini menempatkan lebih tiga juta pelarian dalam negara (IDP) Syria yang memilih untuk berlindung di situ selepas sebahagian besar kawasan yang sebelum ini dikuasai kumpulan anti kerajaan jatuh ke tangan tentera regim.

Sejak 26 April lalu, regim Bashar yang disokong Rusia melakukan hampir 50,000 serangan udara yang mengorban nyawa lebih 750 orang awam dalam usahanya menawannya.

Sepanjang tempoh berkenaan, mereka telah diserang tanpa henti termasuk di bulan Ramadan dan di Hari Raya Aidilfitri.

Kini menjelang sambutan satu lagi hari kebesaran umat Islam, tiada petanda mangsa yang terkepung di situ akan menyambut Hari Raya Aidiladha dalam keadaan “tenteram”. /Foto Syria Care

Razali Awang
Media Syria Care

Caption : Regim Bashar dan Rusia menyambung semula serangan ke atas Idlib, selepas gencata senjata yang diumumnya Jumaat lepas berakhir pada Isnin.

Kongsi Artikel Ini