HOSPITAL TERAKHIR DI SARAQEB ‘TERKUBUR’

f-syriahospitals-a-20180201-870x551
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berpengkalan di Perancis, Médecins Sans Frontières (MSF) mengesahkan terpaksa menutup operasi Hospital Al Ehssan berikutan kemusnahan teruk akibat serangan roket tentera regim Bashar dan sekutunya.
 
Dalam berita yang dimuat di laman rasminya, http://www.msf.org/, ia kesal kerana satu-satunya hospital awam di situ telah menjadi sasaran. Lebih dikesal lagi, ia dibuat ketika mana petugasnya sedang menguruskan mangsa yang cedera akibat serangan ke atas sebuah pasar di Saraqeb yang mengorban berpuluh jiwa.
 
“Sekitar jam 10:20 pagi pada 29 Januari, Hospital Owdai (juga dikenali sebagai Hospital Al Ihssan) di bandar Saraqeb, Idlib telah rosak akibat dua serangan udara yang memusnahkan bahagian bangunan hospital,” petik laporan itu.
 
Serangan pertama telah mengenai bilik menunggu manakala yang kedua jatuh di bahagian hadapan dan memusnahkan ambulans yang diletakkan di situ.
 
Dalam kejadian berkenaan, lima maut, termasuk doktor dan jururawat bertugas serta seorang kanak-kanak.
 
“Kejadian terkini ini menunjukkan keganasan di mana pusat jagaan kesihatan telah menjadi sasaran serangan di Syria. Hakikatnya serangan ini berlaku di sebuah pusat kemudahan yang merawat pesakit yang datang adalah betul-betul bodoh dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa,” kata Ketua Misi MSF, Luis Montiel.
 
Serangan pada 29 Januari itu adalah kali kedua dalam tempoh 10 hari. Dalam kejadian terdahulu, ia jatuh di kawasan lapang di perkarangan hospital dan tidak mendatangkan kemusnahan besar.
 
Hospital Al Ihssan yang mempunyai 18 katil menjadi satu-satunya hospital awam yang masih beroperasi di daerah Saraqeb. Ia menampung populasi 50,000 penduduk dengan purata 3,800 pesakit menerima rawatan pada setiap bulan.
 
Bagaimanapun serangan tidak berhati perut tentera regim dan sekutunya memaksa ia ditutup walaupun terdapat keperluan mendesak berikutan pertambahan pesakit dan pelarian akibat peningkatan serangan.
 
 
 

Kongsi Artikel Ini