Hari kedua terakhir di Syria

Whatsapp Image 2020 01 16 At 9.22.51 Am

Hari kedua terakhir di Syria antara yang paling sibuk. Memandangkan banyak tempat yang perlu dilawati, kami tidak mempunyai masa untuk makan.

Hanya bawa bekalan untuk dimakan dalam van. Itupun saya tak sempat habiskan.

Destinasi terakhir kami adalah sebuah kem di Awal Qah, Kafr Lusin.

Di situ kami akan mengagihkan khemah baharu kepada pelarian – pelarian di situ. Menariknya, kem ini diberi nama sempena NGO kami, Kem Syria Care.

Memandangkan anggota misi sampai ke sana agak lewat dan cuaca sudah mulai gelap, atas faktor keselamatan, kami dinasihatkan memendekkan aktiviti.

Ketika berjalan keluar dari kem itu, saya dan beberapa lagi petugas mengambil kesempatan untuk bergambar dengan papan tanda kem Syria Care buat kenang – kenangan. Bolehlah tunjuk kepada kawan – kawan dan keluarga di Malaysia.

Saat inilah yang paling tidak dapat dilupakan ketika mana saya berselisih dengan dua orang anak kecil yang kelihatan tidak terurus.

Ingin saya tegur dan dekati mereka, namun dia nampak ketakutan.

Ketika itu saya teringat lebihan makanan yang mesih ada dalam van.

Tanpa berlenggah sayapun bergegas ke van dan kemudian menggunakan bahasa isyarat, memanggil mereka berdua untuk mengambilnya.

Makanan terus disambar dari tangan saya sebaik dihulur kepada mereka. Belum sempat saya berkata apa – apa mereka terus lari dan menyorok, lalu hilang dari pandangan mata. Hati saya kian terusik dengan kejadian itu. Lebihan makanan tadi mungkin makanan pertama mereka setelah beberapa hari. Mungkin mereka terpaksa menyembunyikan diri kerana bimbang ada yang lain melihat, lalu mereka terpaksa berkongsi. Mungkin.

Muaz Abd.Muein
Petugas Syria Care
Misi Kemanusiaan 11.0
28/11/2019

Kongsi Artikel Ini