Serangan tanpa henti sejak tiga lalu ke atas Timur Ghoutah tidak dipeduli masyarakat antarabangsa.
Jika ditanya secara rambang, berapa kerat yang ambil peduli penyembelihan yang sedang berlaku di bumi Syam.
Mereka tidak bersenjata dan hanya mampu berlindung di bangunan yang tunggu masa untuk ranap dek hentaman puluhan bom dari udara. Bayangkan trauma yang terpaksa ditanggung kerana sejak hampir lapan tahun lalu, penduduknya tidak pernah merasa aman.
Jika kematian mengakhiri penderitaan duniawi, fikirkanlah mereka yang masih bertahan. Apakah kita semua terlalu lemah membiarkan penduduk Timur Ghoutah diperlakukan di luar tahap kemanusiaan? Hidup kebuluran, ketakutan dan menunggu masa untuk dibunuh.
Siang dan malam di Timur Ghoutah dan sekarang Idlib, telah tiada beza. Setiap saat mereka diancam dalam segala sudut. Jika tidak mati, penduduk kawasan berkenaan akan cedera. Risiko mereka untuk “selamat” amat minima.
Tahukah kita, sejak tiga hari lalu, lebih 150 penduduk Timur Ghoutah telah disembelih regim Bashar dan sekutunya Rusia?
Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rundingan Sochi dan Rundingan Geneva hanya pentas drama yang tidak memberi apa-apa makna kepada penduduk Syria.
Sama ada Amerika Syarikat dan Rusia, kehadiran kuasa besar itu di Syria menyumbang kepada kematian. Ironinya, tiada usaha dibuat, paling tidak menghentikan pembunuhan.
Bahkan Rusia yang menjadi sekutu kuat Bashar, terus galak menyembelih demi membalas dendam kematian salah seorang juruterbangnya selepas dibunuh ketika menyelamatkan diri dengan kerusi lantun apabila pesawatnya bejaya ditembak jatuh di Idlib.
Bumi Syam, bumi anbiya sedang dibahagi kuasa besar. Ia sedang dibelah dan pada masa sama penduduknya dibunuh tanpa belas.
Dalam keadaan ini, wajarkah kita menyerahkan nasib mereka kepada Tuhan dan berkata ” Hanya Allah hanya mampu selamatkan penduduk Timur Ghoutah”, sedangkan umat Islam khususnya dan masyarakat antarabangsa amnya, masih berupaya menghentikan pembunuhan dan kezaliman ke atas mereka.