HANYA PADA YANG SATU

Travelog Misi Kemanusiaan Syria Care 11.0

HANYA PADA YANG SATU. 

Perjalanan menuju ke Kem Zamka yang terletak di Al Bab agak mendebarkan kerana terdapat beberapa ‘check-point’ yang perlu dilalui.

Walaupun perjalanan kami diiring oleh seorang pegawai tentera tempatan perasaan itu tidak dapat dielakkan.

Manakan tidak, pada setiap ‘check-point’ tentera-tentera yang bertugas akan meneliti segala dokumen dan melihat ke dalam van untuk melihat setiap seorang dari kami.

Melihatkan senapang di tangan mereka itulah yang membuatkan diri ini tidak senang duduk walaupun aku tahu semua dokumentasi kami telah lengkap.

Memandangkan ia adalah kali pertama aku mengikuti misi ke Syria, ini juga pengalaman pertama berhadapan dengan situasi begitu.”Tenang-tenang aje.

Insya Allah semua OK” Ustazah bersuara.

Aku dan petugas yang lain akur.

Sebaik sahaja kami tiba di Kem Zamka, aku dapat lihat para pelarian Syria di situ ini sedang menunggu kami di luar khemah masing-masing. Keadaan khemah di sini agak kemas dan tersusun berbanding khemah-khemah di kem yang kami pergi sebelum itu.

Kami disambut dengan begitu mesra memandangkan ini bukan kali pertama petugas misi ke sana.

Malah pihak Syria Care telah menggali telaga di kem berkenaan yang dapat dimanfaatkan mereka di sekitarnya.

Kami berada agak lama di situ kerana banyak tugasan yang perlu dilaksanakan. Agihan pek makanan dan briket, meninjau projek perluasan telaga dan bertemu dengan penduduk di situ. Tanpa kami sedar hari semakin gelap.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar”

Kedengaran azan Maghrib berkumandang dari masjid yang sederhana besarnya bersebelahan telaga yang telah digali.

“Kita solat dulu di sini, kemudian baru gerak balik” Ustazah memberi arahan. Aku rasa terharu melihat penduduk lelaki berpusu-pusu mengambil wuduk dan solat Maghrib berjemaah.

Mereka diuji begitu hebat sekali. “Aku tidak boleh bayangkan sekiranya aku berada di tempat mereka” detik hatiku. “Aku kena kuat! Aku kena terus lakukan kerja-kerja kemanusiaan ini untuk mereka kerana Allah” aku terus bermonolog.

Usai solat Maghrib, kami bergegas naik ke van untuk pulang ke kediaman kami. Kami agak cemas kerana sepatutnya kami perlu pulang sebelum masuk waktu Maghrib.

Agak bahaya sekiranya bergerak pada waktu malam dengan keadaan jalan yang gelap-gelita kerana tiada lampu jalan. Lebih-lebih aku yang tidak biasa dengan keadaan ini. Panik!

Van kami meluncur laju menuju ke dalam kegelapan. Syukur sangat tiada apa yang berlaku sepanjang jalan dan kami selamat sampai. Sungguh ia pengalaman yang sangat berharga.

Sebelum merebahkan badan malam itu, dalam kesejukan yang teramat walaupun berbungkus dengan selimut tebal aku terkenangkan mereka di khemah.

Bagaimana agaknya mereka tidur mala mini? Dapatkah mereka melelapkan mata dengan kesejukan yang mencengkam ini? Bagaimana harus mereka lalui esok yang kelam?

Walaupun kehidupan mereka jauh lebih sukar dari apa yang dapat kita tanggung namun pujian terhadap Allah tidak pernah lekang dari bibir mereka. Masya Allah.

Terlalu banyak yang aku belajar sepanjang berada di bumi Syam ini. Apa pun yang kita lalui, jangan pernah lupa pada Allah yang satu.

Farah Mardzi
Kem Zamka, Al Bab, Syria
Petugas Misi Kemanusiaan Syria Care 11.0
22 Nov 2019

Kongsi Artikel Ini