DUA RIBU TENTERA AS DI MANBIJ

WhatsApp Image 2018-01-26 at 12.39.02 PM
Dianggarkan lebih 2,000 tentera Amerika Syarikat masih berada di Manbij bersama dengan kumpulan pemisah Kurdish, Yekîneyên Parastina Gel (YPG).
 
Menurut agensi berita Al Jazeera, anggota berkenaan sebelum itu ditugaskan bagi memerangi IS di Syria.
 
Fakta itu diberikan ketika Turki mengulangi pendirian untuk meneruskan operasi menghapuskan ancaman pengganas ke atas bandar yang terletak 100 kilometer dari timur Afrin.
 
Pada Khamis, Timbalan Perdana Menteri Bekir Bozdag berkata, Amerika Syarikat boleh mengelak konfrantasi dengan menghentikan sokongan kepada YPG.
 
“Mereka yang menyokong pertubuhan pengganas akan menjadi sasaran pada pertempuran ini. Amerika Syarikat perlu menilai semula tenteranya dan bentuk bantuan kepada pengganas bagi mengelak pertempuran dengan Turki,” katanya yang dipetik dari laporan A Haber.
 
Sementara itu Jurucakap Pentagon, Dana White berkata, beliau mengetahui permintaan Turki supaya Amerika Syarikat mengundurkan tenteranya daripada laporan media.
 
Terdahulu Jurucakap Gabungan Pasukan Petugas Tentera Bersama, Kolonel Ryan Dillon berkata, tentera Amerika Syarikat yang berada di sana berhak mempertahankan diri jika diserang.
 
13 Januari lalu, Amerika Syarikat mengumumkan akan membentuk 30,000 Border Security Force atau Tentera Keselamatan Sempadan yang turut membabitkan anggota YPG berhampiran sempadan Turki yang terletak di utara Syria.
 
Ia kemudian dibantah keras Ankara kerana YPG adalah serpihan daripada Parti Pekerja Kurdistan(PKK) yang menuntut kuasa autonomi sehingga menyebabkan pertumpahan darah di Turki sejak berdekad lalu.
 
 

Kongsi Artikel Ini