Dua lagi doktor dijangkiti Covid-19

Unknown-13-1024x683

Dua lagi doktor dijangkiti Covid-19

Kesemua kes positif Covid-19 di utara Syria membabitkan petugas barisan hadapan.

Dalam perkembangan terbaru, dua lagi doktor dan seorang jururawat telah disahkan dijangkiti virus itu.

Menurut Al Jazeera, dua doktor berkenaan terdiri daripada pakar mulut dan pakar kanak-kanak.

“Kes mutakhir dikesan pada Sabtu, seorang jururawat bertugas di bahagian kecemasan di hospital Bab al Hawa yang mempunyai hubungan dengan kes pertama”, lapornya.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepada empat.

Kesemua mereka kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan telah dikuarantin.

Menurut Maram al-Sheikh, Menteri Kesihatan kerajaan sementara di utara Syria, langkah-langkah pencegahan telah dibuat termasuk mendirikan tujuh pusat kesihatan di Idlib dan Aleppo dengan melakukan 2,000 ujian saringan.

Namun, dengan jumlah pelarian dan penduduk yang mencecah hampir empat juta orang ditambah dengan segala kekurangan asas, penularan kes Covid-19 di utara Syria dilihat mudah tersebar dan boleh menjadi satu lagi malapetaka besar.

Mekanisma WHO supaya orang ramai mengamalkan penjarakan sosial untuk memutuskan rangkaian Covid-19, amat payah untuk dilaksanakan di utara Syria.

Langkah-langkah pencegahan yang disarankan menjadi sesuatu yang masih jauh untuk dilaksanakan kerana tuntutan kelangsungan hidup.

Makanan, pakaian dan tempat tinggal antara tiga perkara asas yang tidak pernah berkesudahan.

“Terdapat kekurangan ketara bekalan air bersih dan kebersihan di kem kerana sistem perparitan yang teruk dan kekurangan kemudahan sanitasi. Ia bencana besar,” kata Mohammed Hallaj, salah seorang ketua penyelaras jawatankuasa pelarian kepada Al Jazeera.

Dalam keadaan yang segalanya hampir musnah, wabak Covid-19 menjadi satu ujian besar untuk mangsa konflik melalui satu lagi fasa kehidupan. Foto MMC.

Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini