DRAMA GENCATAN SENJATA

Us Un Syria 7

Rusia dan Syria bertikam lidah dengan Amerika Syarikat bersama sekutu Barat berhubung tanggungjawab masing-masing bagi melaksana gencatan senjata selama 30 hari di Timur Ghoutah.

Perbalahan itu berlaku ketika Mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berlangsung dan selepas hampir seminggu badan dunia itu meluluskan resolusi supaya ia dilaksanakan tanpa ditangguh.

Ketua Kemanusiaan PBB, Mark Lowcock yang berang dengan pencabulannya mempersoalkan peranan negara anggota.

“Bilakah resolusi akan dikuatkuasa”, tegasnya yang dipetik dari TRT World.

Menurut Lowcock konvoi misi kemanusiaan yang terdiri dari 45 trak telahpun bersedia untuk memasuki 10 kawasan terkepung.

Bagaimanapun ia tergendala susulan pencabulan resolusi yang disepakati sebelum ini.

Tegasnya lagi, sekiranya keadaan yang berlaku sekarang tidak berubah, ia akan menyaksikan lebih ramai lagi orang awam yang terperangkap mati kerana kebuluran dan penyakit berbanding pengeboman dan serangan meriam.

Sehari selepas Majlis Keselamatan meluluskan gencatan senjata pada Sabtu lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan gencatan senjata sendiri yang berkuatkuasa lima jam sehari bagi memberi laluan kepada penduduk menyelamatkan diri ke kawasan lain sementara operasi memerangi kumpulan anti kerajaan diteruskan.

Ia tidak menjadi kenyataan kerana dicabuli sekutunya sendiri, Syria.

Menurut agensi kemanusiaan, cadangan pemindahan yang cuba dibuat Moscow juga tidak mendapat sebarang reaksi dan tiada pergerakan pemindahan berlaku sejak ia diumumkan.

Status sebenar gencatan senjata di Timur Ghoutah masih jauh dari realiti kerana regim Bashar dan Rusia masih melancarkan serangan meskipun agak berkurang berbanding minggu sebelumnya.

Kongsi Artikel Ini