Dicaci dan dicabul

Untitled
Ketika Mounir (bukan nama sebenar), 13 tahun melarikan diri dari Syria menuju ke Lubnan bersama keluarga selepas terselamat dari serangan roket yang hampir meragut nyawanya sekeluarga, dia fikir akan selamat.
Namun, ia seperti terlepas dari mulut buaya masuk mulut harimau. Selain berdepan dengan kata-kata nista di negara dia menumpang, dia turut dicabul.
Mounir terpaksa menggalas tanggungjawab besar kerana keadaan bapanya yang tidak berupaya bekerja yang mengalami masalah kesihatan, Demi kelangsungan hidup dia berusaha mencari pendapatan dengan menjual gula-gula di bandar Tripoli, kerja yang mengerah kudratnya di jalanan sehingga jam 11 malam dengan pendapatan sekitar LP12,000 atau AS8 sehari.
“Ia amat perit apabila orang memanggil nama saya dan macam-macam.
“Ia amat menyakitkan hari, kekadang saya duduk dan menangis, Ia amat mengaibkan,” luahnya,” kepada wakil Thomson Reuters Foundation.
Mounir tahu dirinya tidak seperti kanak-kanak lain yang berusia 13 tahun.
“Kanak-kanak sepatutnya hidup dengan bermaruah dan dihormati tanpa cacian,” katanya.
Sambil mengenggam tangan, dia mengimbau saat di mana lelaki di jalanan cuba mencabulnya.
“Mereka cuba lakukan perkara tidak baik. Saya tidak boleh terima,” sambil wajahnya tunduk ke tanah.
“Ia berlaku lebih sekali kepada saya di jalanan. Mereka semua lelaki. Sudah tentu saya takut dengan ini semua. Mereka panggil saya dan saya kata tidak mahu,” ceritanya.
Dalam usia semuda itu, dia dianggap sebagai abang kepada kepada kanak-kanak lain yang menjaja di jalanan bersamanya. Ada di antara mereka berusia hanya lima tahun.
Nasibnya sedikit baik bulan lalu, apabila mendapat tawaran bekerja di kedai gunting rambut, di mana dia bekerja 10 jam seminggu.
Menurut Mounir, sebelum konflik ketika di sekolah dia amat meminati matematik dan masih menyimpan cita-cita untuk terus belajar membaca dan menulis.
“Saya mahu menjadi mekanik. Saya suka membaiki motor,” katanya sambil senyum lebar dengan lesung pipit di pipi.
Menurut ibunya, Hasnaa, dia merasa amat bersalah tetapi tiada pilihan selain menghantar Mounir dan abangnya yang berusia 17 tahun untuk bekerja, sehingga tercicir dari pendidikan.
Bagi berteduh keluarga ini menyara garaj kecil dengan sewa LP280,000 sebulan.
“Tiada apa yang cukup. Semua diguna untuk bayar sewa,”katanya.
Mengulas mengenai senario yang berlaku, kumpulan bantuan berkata, daripada sejuta pelarian Syria yang mencecah satu perempat penduduk Lubnan, ramai lagi kanak-kanak yang senasib dengan Mounir di mana mereka terpaksa bekerja kerana didorong oleh kemiskinan.
Menurut Danish Refugee Council (DRC) jumlah buruh kanak-kanak Syria di Lubnan telah meningkat dari 4 peratus kepada 7 peratus pada penghujung 2016.
“Ia sedih untuk diberitahu bahawa keadaannya menjadi semakin buruk.
“Selagi ketua ketua keluarga tidak menjana menjana pendapatan, kadar buruh kanak-kanak akan meningkat ,” kata jurucakap DRC, Benedict Nixon.
Bulan lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan memberi amaran berhubung “jurang kritikal” bagi membiayai pelarian dan boleh menyebabkan negara yang menerima mereka memotong beberapa perkhidmatan penting.
Secara globalnya, konflik dan becana akibat cuaca telah mendorong kanak-kanak untuk bekerja dalam bidang pertanian. Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FOA) jumlahnya buruh kanak-kanak dalam sektor itu mencapai 71 peratus.
“Ketua keluarga pelarian Syria di khemah pelarian di Lubnan sebagai contoh cenderung untuk menggunakan buruh kanak-kanak untuk memastikan kelangsungan hidup mereka, ”kata dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa sempena memperingati Hari Menentang Buruh Kanak-Kanak Sedunia.
Mengulas mengenai isu itu, jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Tanya Chapuisat, berkata, keluarga pelarian Syria di Lubnan tidak mempunyai pilihan sehingga memaksa anak mereka bekerja.
“Keluarga berada pada tahap terdesak apabila berdepan dengan hutang dan untuk mendapatkan keperluan asas mereka, mereka terpaksa meminta anak-anak untuk bekerja,” katanya.
Lebih tiga perempat pelarian di Lubnan hidup di bawah paras kemiskinan dan bertarung untuk hidup dengan pendapatan kurang AS4 sehari. Menurut UNICEF kurang separuh daripada anak-anak mereka pergi ke sekolah.
Tulisan ini telah diolah dari artikel yang disiar Gulf Times.
 
Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini