Di satu penjuru terdengar suara orang lelaki seperti marah-marah…

159248174_1405970459741869_2241765481278353983_n

Omma dan anggota tiba di salah sebuah kem selepas Zohor waktu Syria. Matahari memancarkan sinarnya namun cuaca dingin.

Lori kecil membawa makanan yang dimasak di dapur kamipun telah tiba. Ramai orang keluar kerumun. Keadaan khemah-khemah di kem itu terlalu daif. Hati Omma sebak.

Seorang makcik yang berdiri tidak jauh dari Omma berkata “Turunkan mask awak tu. Sini tiada Covid” Omma tersenyum. Sebagai mengambil hatinya Omma turunkan penutup muka seketika. Tidak mahu dianggap sombong. Tetapi selepas itu Omma pakai semula.

Walaupun kes Covid 19 atau dipanggil Korona oleh mereka jarang atau hampir tidak didengari di kawasan ini, namun kami tidak boleh mengambil risiko. Setiap kali selepas agihan, kami menggunakan sanitizer. Ada sebahagian anggota kami, tangan sudah mula kering. Tetapi itu bukan penghalang untuk kekal bersemangat membantu.

Di satu penjuru terdengar suara orang lelaki seperti marah-marah. Omma cuba dekati untuk memahami mengapa. Rupanya dia tidak selesa gambarnya diambil.

Kami akur…

Kita mengambil gambar sekadar mendonkumentasi ke mana sumbangan orangramai disalurkan. Namun cabaran kami apabila ada segelintir kecil yang rasa terhina.

Sebab itu kami biasanya akan meminta izin dahulu.
Ketua kem sudah benarkan. Tetapi dia seorang pula yang bersungut. Namun setelah Omma dan beberapa sahabat-sahabat kami terangkan tujuan, dia akur. Malah dia pula meminta maaf kepada kami.

Mungkin ada yang tanya mengapa mereka rasa begitu?

Hakikatnya mereka suatu ketika dahulu adalah golongan yang senang. Malah mereka yang sering membantu orang lain. Namun ujian hidup bagi mereka terlalu besar. Bukan sahaja kediaman mereka musnah akibat letupan dan serangan tanpa belas, harta yang mereka miliki juga hilang sekelip mata.

Jatidiri yang tinggi menyebabkan ada segelintir kecil sukar menerima keadaan. Ada yang sanggup kelaparan kerana malu meminta-minta. Ada pula yang rela mati dari menerima bantuan luar.

Kita tidak boleh menghukum mereka. Kita tidak lalui sedikitpun dari apa yang terpaksa mereka hadapi dan cabaran yang mendepani mereka terlalu besar.

Siti Sakinah binti Meor Omar Baki a.k.a Omma Sakinah
Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care 12.0
Kem Dhuyuf Asyarqiayah,
Utara Syria.

#iamahumanitarianworker
#misiikemanusiaansyriacare12
#ommawrites#ommatravels

Kongsi Artikel Ini