DARAA TUNGGU MASA DISERANG

WhatsApp Image 2018-03-26 at 14.38.11

Tentera Syria akan melancarkan operasi pembersihan di wilayah Daraa dan kawasan selatan sebaik misinya di Timur Ghoutah selesai.

Perkara itu disahkan Russian Center for Reconciliation (RCFR), sebuah agensi di bawah angkatan bersenjata Rusia, melalui status yang dimuat naik di laman Facebooknya.

Katanya, Moscow akan menyokong operasi udara dan darat tentera Syria di kawasan yang masih dikuasai kumpulan anti kerajaan.

Awal bulan ini, regim Bashar al Assad dilapor menggerakkan sejumlah besar ketumbukan askar bersama peralatan baru ketenteraan menuju ke Daraa untuk melaksana misi pembersihan.

Sebahagian besar mereka ditempatkan di Shamal al-Khat, al-Sahari, al-Matar, al-Sabil adan al-Soqour.

Persediaan itu dibuat regim Bashar mendapat maklumat Free Syrian Army (FSA) telah memulakan rancangan untuk menggempur kedudukan yang dikuasai tenteranya di Daraa.

Dalam perkembangan lain, Jaish al Islam tidak berganjak dengan keputusan untuk terus kekal mempertahan Douma di Timur Ghoutah dari dikuasai tentera regim Bashar al Assad dan konco-konconya.

Salah seorang komandernya, Osam Bawizani berkata, pihaknya sama sekali tidak akan berundur dari situ.

Menurut laporan yang dipetik daripada Fars News Agency, Jaish al Islam telahpun merayu kumpulan penentang yang lain supaya bersatu tenaga dengannya untuk melancar serangan balas besar-besaran bagi mempertahan Timur Ghoutah.

Ia sekaligus mencabar kata dua yang diberikan tentera regim supaya mereka berundur atau diperangi hingga mati.

Douma menjadi 10 peratus kawasan di Timur Ghoutah yang masih dikuasai penentang anti kerajaan selepas Ahrar al Sham dan Faylaq al Rahman bersetuju keluar dari Harasta dan Arbin, minggu lalu.

 

Kongsi Artikel Ini