“Bolehkah saya peluk awak?”

76732197_1019512381721014_357224477391585280_o

“Bolehkah saya peluk awak?” kata kata itu terpacul dari seorang pelajar perempuan ketika saya selesai memberi kata-kata semangat di sebuah kelas yang menempatkan sekitar 20 pelajar perempuan berusia antara 16 hingga 17 tahun.
_____________

Saya dan petugas misi dibawa menziarahi Syiria Comunity School, sebuah sekolah yang menempatkan lebih 1,000 pelajar dari negara itu di tengah Doha, Qatar ketika berkunjung ke sana.

Di kelas terakhir yang kami lawati saya diminta memberi ucapan.
Dalam masa yang singkat itu, ucapan yang saya berikan telah memberikan reaksi oleh salah seorang pelajar di situ yang memberikan kesan mendalam kepada diri saya.

Naluri keibuan dan jiwa pendidik membuatkan saya memeluk erat gadis sunti itu. Dia juga begitu.

Sejujurnya saya enggan melepaskan pelukan. Wajahnya membuatkan saya terbayang Syaima’ dan Umamah, anak gadis yang saya tinggalkan ribuan kilometer demi tugas melaksanakan misi Bantuan Musim Sejuk Syria Care 11. 0.

Terubat rasa rindu saya…

Saya lupa nak tanya namanya, tetapi raut wajah, pertuturan dengan slanga Inggeris Amerika yang pekat membuatkan wajah manisnya terbayang-bayang.

Dia yang berada di meja belakang tampil bangun sejurus selepas saya menyuntik kata-kata semangat untuk mereka yang berada dalam kelas itu.

“Awak semua beruntung kerana berpeluang belajar di sini. Begitu ramak kanak-kanak Syria yang lain tidak mempunyai peluang untuk belajar. Gunakan kesempatan yang ada untuk menuntut ilmu sebaik mungkin kelak menyumbang bagi membangunkan semula Syria”.

Sebaik usai, tanpa menunggu lama dia bangkit memberi ucapan terimakasih dan terus berkata
“Bolehkah saya peluk awak?” Saya menjawab “Sebenarnya saya baru nak tanya soalan yang sama…”

Saya terima pelukannya seperti ibu mendakap anak yang lama terpisah.

“Semoga Allah memberkati hidupmu, memudahkan segala urusan dunia dan akhirat.

” Ya Allah lindungilahnya dari sebarang musibah dan bencana”, hati ini tidak berdoa.

Apakan daya kami terpaksa juga pergi.

Kaki ini berat untuk melangkah dari kelas yang menempatkan kanak-kanak ini.

Kami terpaksa beredar kerana tidak ingin terlepas peluang bertemu Sheikhul Islam Dr. Sheikh Yusof Al Qaradawi.

Dalam hujan gerimis yang pertama kali turun sejak sekian lama, saya dan para petugas tinggalkan perkarangan sekolah.

Doa saya cuma satu. Agar mereka berpeluang pulang ke kampung halaman mereka satu hari nanti. Dan Omma berkumpul dengan mereka di sana.

Siti Sakinah Meor Omar Baki
Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care 11.0
Doha, Qatar
19 November 2019

#misikemanusiaansyriacare11
#bantuanmusimsejuk7

Kongsi Artikel Ini