Bila dunia membutakan mata

WhatsApp Image 2019-07-17 at 10.06.09 AM

Gambar dan rakaman tragis serangan udara ke atas kedudukan orang awam di utara Syria, khususnya Idlib sedikitpun tidak mengundang simpati mereka yang memegang tampuk kuasa sama ada daripada saudara sebangsa, Arab, saudara seagama, Islam dan sekelian umat.

Tahun kelapan penyembelihan besar-besaran ke atas orang awam di Asia Barat seakan direstui.

Di negara yang satu ketika dahulu dikenali dengan kepelbagaian budaya, warisan sejarah, keindahan alam dan keilmuan, kini menjadi sejarah.

Angka korban bukan lagi menjadi kisah.

Apakan tidak, ketika umat Islam di kebanyakan negara menjalani ibadat di bulan Ramadan dan Syawal dengan aman, keadaan itu sama sekali tidak berlaku di utara Syria.

Bermula 26 April 2019 sehingga minggu pertama Julai 2019, Syrian Network for Human Rights (SOHR), melaporkan lebih 544 nyawa melayang dalam tempoh 60 hari.

Lebih dari itu, lebih 46,000 serangan udara telah dilancarkan sepanjang tempoh berkenaan. Ia bermakna dalam sehari lebih 766 serangan dilakukan dan sepanjang 24 jam, lebih 31 serangan dibuat.

Dalam erti kata mudah secara purata penduduk diserang pada setiap setengah jam(0.51).

Malangnya, analisa ini hanya sekadar angka.

Setiap hari kematian tragis dan kisah-kisah lara penduduk di utara Syria memenuhi platform media sosial dan sekali sekala menjadi bahan berita surat khabar serta televisyen, namun tiada usaha bersungguh-sungguh untuk menghentikan itu semua.

Mereka yang bergelar pemimpin dan pejuang hak kemanusiaan masih ralit dan leka dengan pentas sandiwara badan dunia.

Selagi nyawa dikandung badan, pelarian di utara Syria hanya mampu bertahan dan sekadar menunggu masa untuk mati kerana tiada usaha ikhlas untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku. /Foto Syria Care.

Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini