Berpisah dari keluarga di Malaysia, dan bertemu dengan keluarga di Istanbul

7 tahun lalu sewaktu suami Omma keluar untuk solat subuh di sebuah masjid di Reyhanli, Turki Ustaz berjumpa dengan seorang rakyat Syria.

Ketika itu, Ustaz ke sana kerana ingin membawa pulang dua orang anak Omma yang menjalani proses hafazan Quran. Usai solat, seorang pakcik Syria menegur Ustaz. Bila dia dapat tahu Ustaz dari Malaysia dia begitu sebak dan gembira. Dia bercerita kepada Ustaz, anaknya telah beberapa tahun di Malaysia dan dia harap Ustaz sudi membawa kepadanya sedikit hadiah buat cucu mereka.

Dari situlah perkenalan kami dengan keluarga Ali dan Rasha. Dari sekadar tolong menyampaikan amanah, hubungan kami menjadi rapat sehingga Rasha memanggil saya Mama kerana mengganggap saya seperti ibu yang terpisah darinya selama 10 tahun.

Hari ini setelah program sebelah tengahari bersama Mufti Istanbul, kami ke rumah yang disewa semenjak penghijrahannya ke Turki tahun lepas.

Alhamdulillah wajah Rasha nampak berseri dari kali terakhir kami berjumpa dengannya di rumah sewa mereka di Kelang, sebelum mereka ke sini. Ketika itu, wajahnya cengkung kerana tekanan hidup yang melampau.

Walaupun dari segi kewangan kehidupan mereka tetap susah, sekurang-kurangnya dia dapat berjump dan bersama keuarganya. Ali suaminya masih belum dapat berjumpa keluarganya yang sudah terpisah lebih sebelas tahun.

Nanti bila ada kelapangan, Omma akan kongsi lagi kisah keluarga Ali dan Rasha.

Siti Sakinah Meor Omar Baki a.k.a Omma Sakinah
Ketua Misi Kemanusiaan 13.0
Istanbul
Jumaat, 1 April 2022

Kongsi Artikel Ini