Bayar wang atau bakar

Untitled

 

Konflik yang berlaku tidak menjejaskan kesuburan tanah di Syria. Di beberapa kawasan di utara negara itu, gandum telah masak dan sedia untuk dituai.

Seperti biasa, ia menjadi rutin bagi Rawda Danawer dan Maryam al Hasan, ke ladang untuk membanting tulang bagi menyara hidup dengan sebidang tanah di Al Jalamah, pinggir Hama.

Namun Selasa lalu, ia menjadi hari terakhir mereka berbakti kepada tanah apabila wanita berkenaan menjadi mangsa korban selepas mereka dibakar hidup-hidup ketika sedang menuai gandum.

Menurut sumber Syria Care di dalam Syria, kejadian berlaku apabila tuan tanah enggan menuruti kehendak penyokong kumpulan bersenjata pro Presiden Bashar al Assad supaya membayar wang ufti bagi membolehkan hasil tanaman dituai. Di bawah undang-undang yang dilaksana, pemilik ladang diminta membayar Syria Pound 1,000 bagi setiap 1,000 kilometer persegi kawasan tanaman yang diusahakan.

Apa yang menimpa Rawda dan Maryam, antara cebisan kisah yang terpaksa ditanggung pemilik ladang dan petani di Syria. Kesuburan tanah bumi Syam tidak pernah menghampakan walaupun sebelum ini pernah diuji dengan musim kemarau panjang, namun sengketa dan kesumat kumpulan pro kerajaan ke atas orang awam khususnya di kawasan yang disyaki berada di bawah pengaruh kumpulan penentang, mendorong mereka memusnahkan dengan apa juga cara hasil bumi. Paling mudah, membakar ladang.

Seperti Al Jalamah, beberapa kawasan subur terus menjadi sasaran serangan udara. Ladang-ladang gandum dibom sesuka hati dan ketika musim panas, sebarang percikan api dengan mudah menyebabkan kebakaran merebak.

Menurut Syrian Observatory fo Human Rights (SOHR), serangan ke atas kawasan yang bersempadan dengan selatan Idlib dan utara Hama telah menyebabkan ratusan ekar ladang tanaman terbakar.

Menurutnya lagi, kumpulan bersenjata pro kerajaan telah menjadikan kawasan seperti Shal al Ghab, Al Lataminah dan Kafr Zita yang subur dengan hasil tanaman sebagai sasaran.

Cara yang digunakan itu bukan perkara baru. Sejak revolusi bermula dan ketika kebangkitan rakyat mendapat sambutan, tentera regim dan sekutunya menggunakan cara yang sama sebagai hukuman kepada rakyat Syria.

Strategi bom dan bakar, adalah antara pelbagai kaedah yang digunakan ke atas orang awam untuk tunduk dengan kehendak mereka. Itu tidak termasuk mereka yang terus hilang kerana disyaki menyokong kumpulan penentang anti kerajaan.

Rakyat Syria dibunuh dalam pelbagai bentuk dan cara, semua jenis senjata digunakan ke atas mereka kecuali bom hidrogen dan nuklear. Tidak cukup dengan itu, kurniaan alam yang menjadi sumber makanan mereka menerimaa nasib yang sama, dimusnah sesuka hati.

Ramai tidak peduli bahawa kemanusiaan telah mati di Syria.

Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini