Hampir semua daerah di Timur Ghoutah diserang tentera regim dalam tempoh 24 jam meskipun sekutunya, Rusia mengusahakan gencatan senjata.
Menurut Syrian Observatory for Human Rights (SOHR), sepanjang tempoh itu, tidak kurang lapan kematian dilaporkan.
Douma, Harzma dan Nashabiyah antara yang menjadi sasaran.
Sementara itu di Arbin, sekurang-kurangnya tiga serangan roket telah dilancarkan.
Sumber tempatan, Ghouta Media Center (GMC), melaporkan tidak kurang 15 serangan udara dan meriam telah dibuat sehingga lewat Sabtu, iaitu hari pertama gencatan senjata berkuatkuasa.
Menurutnya lagi, terdapat askar kerajaan yang terbunuh dan cedera ketika cuba menceroboh masuk ke Timur Ghoutah, kawasan yang dikuasai Jaish al Islam.
Menurut Al Jazeera, tidak semua pihak bersetuju dengan gencatan senjata yang dirintis Rusia.
Awal-awal lagi Ahrar al Sham menolak usaha itu dan menegaskan sama sekali tidak akan menerima sebarang pembabitan kerajaan Bashar al Assad.
Sejak lebih dua bulan lalu, jet Rusia dan tentera kerajaan meningkatkan pengeboman ke atas kawasan yang masih dikuasai kumpulan penentang dan membunuh lebih 200 nyawa.