BANTUAN KECEMASAN BAYI DAN IBU MENYUSU

29186737_1615426381877527_6418481800967880704_o

Syria Care melancarkan kempen bantuan terbaru bagi membantu golongan ibu dan bayi yang terperangkap akibat perang di Timur Ghoutah.

Pengerusinya, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, Bantuan Kecemasan Bayi dan Ibu Menyusu Ghoutah telah bermula pada 12 Mac.

Ia akan diteruskan sehingga 19 Mac ini dengan sasaran kutipan RM95,576.00.

“Kita akan menyediakan pek makanan kepada ibu menyusu dan dari situ mereka akan mendapatkan nutrisi bagi menyusu bayi mereka”, katanya.

Jelasnya lagi, ia penting kerana susu badan adalah makanan semulajadi terbaik dan bagi yang yang tidak mampu, bekalan susu akan disediakan kepada bayi dan kanak-kanak.

Menurut Siti Sakinah lagi, bagi membantu penduduk Timur Ghoutah yang berdepan dengan kekurangan makanan, empat ekor kambing yang diakikah oleh rakyat Malaysia akan dibuat di sana dalam tempoh masa terdekat.

Katanya, Syria Care konsisten mengagihkan bantuan yang disumbangkan pelbagai pihak di Timur Ghoutah berikutan keadaan yang amat kritikal.

Minggu lalu, enam tan gandum hasil sumbangan pelbagai pihak melalui Syria Care telah berjaya disalurkan kepada penduduk Timur Ghoutah.

Ia misi kecemasan kedua, selepas Bantuan Kecemasan Agihan Makanan di kawasan itu Februari lalu berjalan lancar.

“Saya berterima kasih kepada para penyumbang. Sebanyak RM89,640 berjaya dikumpul dalam tempoh kurang daripada 30 jam selepas ia dilancarkan 2 Mac lalu,” kata Siti Sakinah.

Katanya meskipun dalam keadaan perang, agihan berjaya dilakukan melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan iaitu, Eemarusham.

“Dalam apa juga keadaan wa ima bergadai nyawa sekalipun,Syria Care dan rakan kongsi NGO di dalam Syria akan melaksana amanah yang diberikan para penyumbang bagi membantu penduduk Timur Ghoutah. Bantuan anda semua menyelamatkan nyawa mereka yang sedang bertarung dengan kebuluran akibat perang dan kepungan,”kata Siti Sakinah.

 

Kongsi Artikel Ini