BANTU PELARIAN SYRIA BANGUN SEMULA NEGARA

IMG_3449
REYHANLI, Turki- Pembangunan modal insan pelarian Syria di Turki dan di negara itu mempunyai prospek besar untuk dimajukan.
 
Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata pandangan itu disepakati dalam pertemuannya dengan Mufti Kilis, Mahmut Karatepe, di pejabatnya.
 
“Dalam kunjungan yang berlangsung hampir sejam, pelbagai perkara dibincangkan membabitkan peranan masing-masing bagi membantu pelarian Syria. Salah satunya, usaha bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
 
Menurut Siti Sakinah, Mufti Kilis menekankan keperluan pembangunan modal insan khususnya aspek pendidikan.
 
“Mufti menjelaskan kepada kami, atas keperluan itu, pihaknya menekankan keperluan aspek pendidikan kepada pelarian. Pihaknya menyalurkan pelbagai bantuan kepada mangsa peperangan bagi memastikan konflik yang berlaku tidak menghentikan proses pembelajaran. Ia perkara sama yang ditekankan Syria Care,” jelas Siti Sakinah.
 
Tambahnya lagi, pembangunan modal insan menjadi aset penting kepada pelarian Syria untuk membina semula negara mereka yang musnah akibat konflik sejak 7 tahun lalu.
 
Dia yang kini berada di Turki dalam melaksanakan misi bantuan Syria Care berkata, perkara itu menjadi keperluaan utama apabila masalah yang berlaku sekarang berakhir nanti.
 
Dalam kunjungan pertamanya ke Pejabat Mufti Kilis , ia turut dihadiri Shaikh Abdullah al Rahhal dari Pertubuhan Bukan Kerajaan NGO Muassasah Al-Ahbab Al Insaniah yang menjadi rakan kerjasama Syria Care di Idlib.

Kongsi Artikel Ini