Kami tiba di pusat operasi Ulfah Humanitarian Relief iaitu rakan NGO kerjasama di Al Bab, Syria. Ketika melawat stor yang menempatkan barangan yang bakal diagihkan hasil sumbangan rakyat Malaysia hati ini jadi sedikit sebak.
Amanah yang digalas kini akan dilaksanakan sebaik mungkin. Terima kasih rakyat Malaysia atas kepercayaan anda. Kami akan pastikan setiap ringgit yang disumbangkan anda sampai kepada yang mereka yang sangat memerlukan di sini.
Sebelum ke tempat penginapan, kami ke tapak Projek Mawaddah wa Rahmah iaitu projek perumahan yang sebahagian besarnya dibiayai hasil sumbangan sedekah orang ramai. Aku dan petugas misi telah pun menziarahi fasa kedua projek ini yang membina lapan buah rumah. Melalui fasa ketiga pula bangunan dua tingkat didirikan dengan 12 buah rumah.
Alhamdulillah, selesai semua aktiviti seperti yang dirancang, petugas misi lelaki dan perempuan menginap di tempat berlainan. Dalam perjalanan ke tempat penginapan kami dibawa singgah ke satu tempat, kami pun tidak tahu di mana kerana gelap malam tanpa cahaya lampu jalan dan keletihan dek perjalanan yang panjang.
Setelah memasuki bangunan tersebut kami dihidangkan dengan qasidah-qasidah dari warga tempatan diiringi tarian samrah. Ini jika aku masih bertenaga pasti akan turut serta. Tetapi dalam kepala ingin cepat sampai ke tempat penginapan kerana aku sebagai jurufoto dan video tugas aku tidaak selesai di sini, sampai tempat penginapan aku perlu semak semula semua kondisi peralatan dan bateri, pindah fail gambar dan video ke dalam ipad, pilih gambar yang terbaik dan lakukan suntingan video untuk dikongsi di media sosial kami.
Begitu juga petugas lain seperti pengamal media perlu menulis dan dapatkan bahan dari jurufoto dan video untuk digarapkan bersama supaya hasilnya nanti lebih kemas dan mudah difahami. Masing-masing ada tugas akhir sebelum boleh lelapkan mata.
Aku kira mereka pun memahami keadaan dan tanggungjawab kami kerana keberadaan di majlis tadi tidak terlalu lama, hanya sekitar 10 minit dan rakan kerjasama yang juga sebagai penunjuk jalan sepanjang kami di dalam Syria ini meminta izin dari tuan rumah untuk beransur pulang.
Waktu ini cuaca memang betul-betul sejuk. Suhu yang dipaparkan oleh agensi ramalan cuaca serendah 3 selsius. Setiap petugas diberikan selimut tebal sebagai bekalan untuk menempuh kesejukan ini semalaman. Namun tidak cukup dengan selimut tebal itu kami memakai jaket tebal dan stokin. Ada juga petugas yang menggunakan sehingga 2 lapis selimut tebal.
Ya, hanya untuk mendapatkan kehangatan yang cukup untuk kami tidur lena. Ini keadaan kami yang menginap di dalam rumah batu, namun bagaimana pelarian Syria yang terpaksa bertahan dalam khemah? Cukupkah selimut untuk mereka tampung anak beranak. Lenakah mereka tidur pada waktu malam?
Berbagai-bagai persoalan bermain di fikiran. Namun kerana terlalu letih aku akhirnya zzzzz…
Ammar Abu Kasim
Petugas Misi Kemanusiaan Syria Care 11.0
Khamis, 21 November 2019