(Bahagian 1)

Travelog Misi Kemanusiaan Syria Care 11.0

Kami tiba di Reyhanli jam 12 pagi setelah melalui perjalanan panjang lebih 18 jam dari Kuala Lumpur ke Istanbul seterusnya Istanbul ke Hatay. 

Berehat hanya sekadar untuk meluruskan badan dan terjaga lagi jam 4:30 pagi untuk solat subuh.

Pagi itu suhu sekitar 15-17 selsius di Reyhanli, Turki.

Sebaik selesai solat subuh kami perlu memlilih pakaian dan ‘pack’ semula ke dalam beg yang lebih kecil kerana akan bergerak untuk masuk ke dalam Syria.

Kebanyakan petugas membawa bagasi bersaiz 28 atau 24 inci dan ia sangat tidak sesuai untuk perjalanan misi di dalam Syria.

Barang yang tidak wajib dibawa tapi ada dalam hampir setiap beg petugas misi adalah mee segera dan makanan dalam tin seperti sardin dan kari ayam. Ustazah Sakinah pula bawa cili padi sebagai ulam untuk makan dengan nasi Arab. Tekak Melayu kena jaga juga.

Misi kali ini sungguh istimewa kerana kami dibenarkan untuk bermalam di dalam Syria untuk tempoh maksima empat malam.

Usai mengemas semua keluar untuk bersarapan sebelum meneruskan perjalanan memasuki Syria. Barang-barang yang tidak akan dibawa masuk Syria ditinggalkan di pejabat rakan kerjasama Syria Care yang berhampiran dengan tempat penginapan kami.

Seperti biasa sebagai seorang jurufoto dan video misi aku merakam suasana dan ucapan-ucapan dari petugas misi. Jadi sambil berjalan ke kedai makan berhadapan dengan tempat penginapan kami semalam aku meminta Ustazah Sakinah untuk memberi ‘update’ perjalanan kami.

Baru sahaja duduk untuk menjamah sarapan buat alas perut pagi itu kami didatangi dua orang anggota pihak berkuasa tempatan yang berpakaian preman. Pendek cerita mereka ‘curious’ kerana melihatkan orang luar membawa beg-beg besar dengan beberapa kamera agak besar (DSLR) berada di bandar sempadan. Memandangkan Reyhanli bersempadan dengan Syria, jadi kawalan keselamatan agak ketat.

Setelah meneliti pasport, dokumen dan penjelasan daripada rakan kerjasama kami, merekapun beredar. Debaran pertama kami pagi itu berakhir dengan baik.

Tidak lama selepas itu kami bergerak menuju ke sempadan. Perjalanan mengambil masa 2 setengah jam jadi sempat juga aku merehatkan badan awal pagi itu. Untuk empat malam pertama dalam Syria ini kami memasuki melalui pint sempadan Çobanbey di sebelah Turki dan Al-Ra’i di sebelah Syria. Ia merupakan antara pintu sempadan yang baru dibuka semula pada 2017.

Ini merupakan kali pertama aku dan petugas misi dibenarkan bermalam di dalam Syria dan jujurnya aku berasa gementar. Namun aku juga rasa teruja dan bersyukur serta percaya sesuatu yang berlaku itu adalah kehendak Allah.

Kami telah merancang rapi perjalanan dan meneliti pelan kecemasan sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku. Dalam apa sahaja misi, keselamatan adalah keutamaan. Alhamdulillah urusan di sempadan dipermudahkan dan kami terus bergerak ke destinasi yang telah dijadualkan.

Ammar Abu Kasim
Petugas Misi Kemanusiaan Syria Care 11.0
Khamis
21 November 2019

Kongsi Artikel Ini