“Saya rindu awak”

278787477 1713670848971827 8431265559908923235 N

Omma dan tim meneruskan agihan buat hari kedua di Arsal, Lubnan. Kali ini di Kem Talal Haidar. Selepas menguruskan agihan kepada 93 keluarga di situ dan sementara menunggu van kami sampai, Omma dan beberapa ahli tim duduk bersembang dengan anak-anak di situ.

Mereka begitu gembira berbual mesra dengan Omma. Alhamdulillah Omma dapat memahami dialek mereka. Omma bertanya nama mereka, umur dan harapan mereka. Tentang kehidupan mereka di kem ini setelah bertahun-tahun di situ. Ada yang ingin menjadi doktor, jurutera dan guru.

Dalam ramai-ramai, seorang dari mereka (memakai sweater oren) asyik mengulang “Saya rindu awak”. Omma hanya tersenyum. Omma terhibur pun ya kerana kami baru bersua, Omma fikir takkan la dah nak rindu dah?

Apabila bas sampai dan kami mula bergerak ke arahnya, Ahmad berpimpin tangan dengan Omma. Dia masih berulang-ulang menyebut, “Saya rindu awak”. Omma memegang bahunya.

Sampai masa untuk bergerak, Omma melambai ke arah Ahmad dan rakan-rakannya dari dalam bas. Ahmad melambai balik tetapi Omma melihat dia menggosok matanya. Rupanya dia sedang menangis.

Subhanallah. Omma baru sahaja berjumpa dengannya, namun hati kami sudah bertaut. Semoga Allah memelihara dirimu dari sebarang keburukan dan mengeluarkanmu dari kesusahan yang sedang dilalui.

Ahmad dan rakan-rakannya adalah mangsa peperangan yang berlaku di Syria. Mereka hidup atas belas dan kasihan orang ramai walaupun mereka bercita-cita untuk keluar dari situasi ini dan menjadi ‘tangan di atas’.

Buat kita yang berkemampuan, hulurkanlah bantuan buat mereka.

https://syriacare.org.my/oderfood/

Siti Sakinah binti Meor Omar Baki
Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care 13.0
Arsal, Lubnan
13 April 2022

#syriacaremedia #misikemanusiaansyriacare13
#syriacareprojects #syriacareforhumanity
#kempenramadanalkhair10
#raikanramadanbersama #KRAK10
#ommatravels #iamahumamitarianworker

Kongsi Artikel Ini