Lenaku dikejutkan dengan satu bunyi yang begitu kuat, bingkas aku bangun untuk menganalisa. Bunyi seperti guruh, tetapi nadanya seakan lebih rendah dan garau membuat jiwa ala pejuangku goyah. Aku selak langsir sedikit dan aku nampak cahaya kemerah – merahan. Kabur. Kaca tingkap separa legap bertekstur itu membatasi penglihatan. Mungkinkah ketakutan yang membelenggu kami disini bakal menjadi nyata? Hanya Allah yang tahu. Aku lihat Ammar disisi yang masih lena, dan bertanya dalam hati.
“Ammar, dah sedia ke kita untuk mati?”
Aku bingkas ke bilik air. Dalam sejuk ku kuatkan juga untuk berwudhu, memikirkan ini mungkin yang terakhir. Aku masuk semula kebilik, cuba untuk solat dan berzikir namun ketakutan masih membelenggu. Ke katil juga aku akhirnya, mengucap berulangkali dalam selimut menunggu dibedil.
Bunyi dentuman semakin reda dan diakhiri dengan bunyi hujan. Aku memanjatkan kesyukuran kehadrat Ilahi kerana sangkaanku terhadap bunyi itu ternyata meleset.
Ketakutan seperti itu bukanlah sesuatu yang kau mampu untuk alami di negara aman seperti Malaysia. Di Syria mungkin perkara biasa. Anak – anak kecil yang tak berdosa harus melalui ketakutan sebegini hampir setiap malam, hingga terpancar jelas ketakutan di raut wajah mereka. membuatkan ego aku sebagai seorang manusia hancur berkecai.
Aku suratkan kisah disini sebagai satu tanda ingatan dan wahana kesyukuran agar bumi bertuah Malaysia disana, terpelihara. Semoga tiada lagi hidupan yang perlu lalui perasaan takut yang sebegitu dasyat.
Ezzwan Mardzi
Petugas Misi Kemanusiaan Syria Care 11.0
Atma, Syria
26 November 2019
#bantulahwalausesen
#iamahumanitarianworker
#inibukankerjamainmain
#bantuanmusimsejuk7
#misikemanusiaansyriacare