Apa reaksi Turki selepas 40 mati?

35a638e7 6cb5 429d Ba5a E7cb5d54773b


Keganasan terkini di Afrin yang mengorban lebih 40 nyawa pada 28 April 2020 benar-benar menguji sejauh mana keberkesanan operasi yang dilakukan pihak berkuasa Turki dan sekutunya, termasuk Free Syrian Army (FSA) dalam usaha memulih dan memelihara keamanan di bandar yang bersempadan dengan wilayahnya.

11 kanak-kanak antara lebih 40 yang menjadi mangsa korban serangan yang dipercayai dilakukan pengganas Kurdish di Afrin

Keganasan yang menyasarkan orang awam sama sekali tidak dapat diterima apatah lagi ia dibuat ketika umat Islam menyambut minggu pertama bulan mulia, Ramadan.

Bom yang sengaja dipasang pada lori tangki minyak untuk memberi impak letupan yang kuat mempunyai satu tujuan iaitu membunuh seramai mungkin mereka yang berada berhampiran.

Bom sengaja dipasang pada lori tangki minyak untuk membunuh seramai mungkin orang awam yang berada di Souk Ali.

Apa yang menjadi persoalan, apa salah mereka sehingga pengganas sanggup menghalalkan pembunuhan beramai-ramai?

Pengalaman ketika melaksanakan tugas Misi Khas Kemanusiaan Syria Care pada Mac lepas di bandar Afrin memberikan gambaran yang jelas terhadap betapa bandar Afrin tidak selamat untuk didiami jika dibandingkan dengan Atma, Sarmada hatta Idlib.

Di Idlib, sebagai orang asing yang wajah Asianya, penerimaan lebih terbuka, persekitarannya juga jauh lebih selamat kecuali ancaman serangan udara dari tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya, Rusia.

Di Afrin jelas jauh berbeza. Suasana sentiasa tegang yang penuh dengan prasangka terhadap sebarang gerak geri.

Perisik dan pemberi maklumat di mana-mana!

Penulis sendiri mengalami pengalaman ditahan dan disoalsiasat dua kali dalam tempoh tidak sampai 3 jam kerana dikatakan melakukan perbuatan mencurigakan.

Paling tidak dapat dilupa, dibawa menaiki kenderaan polis tentera di Jindares kerana mengambil gambar falafel dalam kuali. Itulah realiti kehidupan di Afrin, kawasan yang tidak selamat kerana macam-macam ancaman.

Paling besar, pengganas Kurdish!

Sebab itu sebaik letupan berlaku, tanpa menunggu lama dengan bukti yang kukuh, Kementerian Pertahanan Turki dalam kenyataannya mendakwa serangan yang berlaku adalah perbuatan terkutuk kumpulan pengganas Kurdish, Parti Pekerja Kurdish (PKK) dan cabangnya, YPG, seteru lama yang sejak lebih 35 tahun lalu membunuh berpuluh ribu nyawa rakyat Turki.

Peluangnya memperkukuh gerakan bersenjata terbuka sebaik konflik di Syria bermula sembilan tahun lalu. Atas semangat nasionalisme Kurdish, ia mempengaruhi rakyat Syria yang sebangsa dengan mereka untuk membentuk tentera bagi menuntut wilayah sendiri.

Dari situ lahirnya Syrian Democratic Forces (SDF), kumpulan bersenjata yang “dihalalkan” pentadbiran Amerika Syarikat kerana terhutang budi menjadi barisan hadapan White House memerangi IS/ Daesh di Syria dan Iraq.

Keganasan pada Selasa lalu menampakkan dengan lebih jelas realiti sebenar orientasi keganasan yang selama ini menjadi teras perjuangannya untuk menuntut kuasa autonomi.

Serangan berkenaan adalah tindakan berskala besar pertama kali selepas dua operasi besar-besaran yang dilakukan Turki sejak awal 2018.

Selepas setahun lebih Operation Olive Branch, Presiden Recep Tayyib Erdogan melancarkan satu satu lagi kempen iaitu Operation Peace Spring pada hujung 2019 dengan alasan ingin mewujudkan zon selamat selebar 32 kilometer hingga ke utara Syria bagi memastikan pengganas Kurdish berada jauh dari kawasan sempadannya.

Kini dengan perkembangan terkini yang berlaku di Afrin, ia akan meningkatkan lagi pertembungan sedia ada penduduk Kurdish-Arab di wilayah itu dan menenggelamkan isu pokok, nasib pelarian Syria.
Dalam kekalutan memerangi wabak Covid-19, apa reaksi Ankara dan masyarakat antarabangsa untuk menghentikan pertumpahan darah sebegini dari berulang?

Tragedi yang berlaku hakikatnya satu lagi babak malang mangsa konflik di negara berkenaan kerana selepas sembilan tahun, perbuatan sebegitu hanya menambah buruk keadaan dan menjauhkan sebarang usaha perpaduan untuk memulakan proses damai di Syria. Foto Syria Care

Razali Awang
Media Syria Care

Penulis bersama anak anak pelarian ketika mengagihkan bantuan Misi Khas Kemanusiaan Syria Care di Afrin pada Mac lalu.

Kongsi Artikel Ini