Kementerian Pertahanan Turki menuduh kumpulan pengganas Kurdish, PKK/YPG sebagai dalang yang bertanggungjawab melancarkan serangan di Afrin yang membunuh sekurang-kurangnya 40 jiwa termasuk 11 kanak-kanak dan mencedera berpuluh yang lain.
“Musuh kemanusiaan PKK/YPG sekali lagi menjadikan orang awam sebagai sasaran,” kata kementerian itu dalam kenyataannya.
Sehingga laporan ini disiarkan, kumpulan berkenaan tidak memberikan sebarang reaksi berhubung serangan berkenaan.
Menurut Syrian Observatory for Human Rights (SOHR), lori tangki yang sarat dengan bahan letupan telah digunakan dan ia menyasarkan kawasan tumpuan orang ramai, Souk Ali.
Dalam kejadian pada tengahari Isnin, serangan dibuat ketika pasar berkenaan menjadi tumpuan penduduk untuk membuat persiapan berbuka puasa.
Letupan kuat turut menyebabkan kebakaran dan kerosakan di premis serta kenderaan berhampiran.
Susulan jumlah kecederaan yang ramai, kumpulan aktivis di kawasan berkenaan meminta orang ramai yang berada di sekitar menderma darah bagi menyelamat nyawa mangsa yang kebanyakannya mengalami lecur teruk akibat disambar api.
Afrin sebelum ini antara kubu kuat kumpulan pengganas Kurdish sehingga mereka dihalau dari situ oleh tentera Turki dan sekutu Syrianya dalam Operasi Olive Branch pada 2018. Foto Syria Care.
Razali Awang
Media Syria Care