Sejarah hidup bangsa Arab Palestin selepas Perang Dunia Kedua dan pembentukan negara Israel, tiada yang indah. Mereka sentiasa dirundung malang.
Rakyat Palestin tiada negara, diusir dari tanah air sehingga terpaksa merempat ke negara jiran untuk berlindung.
Selepas lebih 70 tahun, keadaan tidak banyak berubah. Bagi yang berlindung di Syria, kancah konflik menyebabkan sekali lagi rakyat Palestin menjadi pelarian ke negara berhampiran.
Meskipun berkali-kali diuji, sebahagian besar mereka tetap menyimpan hasrat untuk menyempurna rukun Islam kelima, menunai ibadat haji di Tanah Suci. Namun hasrat berkenaan penuh dengan ujian. Niat murni itu tidak kesampaian.
Selepas menunggu dengan debaran 70 orang pelarian Palestin yang memegang dokumen perjalanan Syria dari Lubnan terpaksa menerima kenyataan, pihak berkuasa Arab Saudi enggan memberi visa haji kerana dikatakan tidak memiliki kewarganegaraan!!!.
“Ini amat menyakitkan bagi kedua ibu bapa saya yang berusia lebih 70 tahun.
“Mereka telah membuat persiapan dan bersedia untuk ke sana. Apa yang ibu bapa saya inginkan adalah menunai haji sebelum mereka menutup mata.
Mereka amat kecewa dengan keputusan yang dibuat 10 hari sebelum kemuncak wukuf,” kata waris pelarian Palestin berkenaan kepada Middle East Eye.
Keputusannya diketahui selepas kakitangan kedutaan Arab Saudi di Beirut memanggil semua ketua agensi pelancongan haji di Luban dan memulangkan dokumen pelarian berkenaan. Keputusan itu bercanggah dengan maklumat sebelum ini, di mana mereka dikatakan telah diberi kebenaran untuk mendapat visa haji.
Larangan kepada pelarian Palestin untuk menunai haji bukan isu baru. Sejak tahun lepas lagi, pihak berkuasa Arab Saudi telah menguatkuasa larangan pemberian visa kepada tiga juta pelarian Palestin di Israel, Tebing Barat, Jordan dan Lubnan.
Bagaimanapun, Januari lalu, sekatan itu ditarik balik selepas lima bulan rundingan dibuat. Namun begitu, keputusan berkenaan mengecualikan mereka yang berada di Lubnan.
Sebarang usaha untuk menggunakan budi bicara Beirut untuk mengatasi kemelut yang berlaku mustahil kerana selama ini, kehadiran pelarian Palestin dan Syria dianggap satu bebanan.
Menurut Pengarah Action Group for Palestinians of Syria, berbeza dengan pelarian Syria, mereka yang berketurunan Palestin menerima nasib yang lebih buruk.
“Pelarian Palestin dari Syria yang tinggal di Lubnan langsung tidak mempunyai sebarang hak,” kata Hussein.
Sejak revolusi bermula pada Mac 2011, Riyadh memutuskan segala bentuk hubungan dengan pentadbiran Presiden Bashar al Assad termasuk urusan berkaitan haji. Bagi urusan berkenaan, Damsyik bekerjasama dengan Pakatan Kebangsaan Syria (SNC) kumpulan anti kerajaan yang berpengkalan di Turki. Bagi mana-mana pelarian Syria yang ingin menunaikan ibadat haji perlu mendapat dokumen dari pihak berkenaan. Persoalannya bagaimana mereka yang berada di luar Turki?./Foto MEE.
Tulisan ini telah ditulis semula dan diolah dari Middle East Eye.
Razali Awang
Media Syria Care