Turki usir pelarian “haram”

Whatsapp Image 2019 07 23 At 12.43.16 Pm

Turki usir pelarian “haram”

Dianggarkan 1,000 pelarian Syria yang berlindung di Turki telah dihantar pulang ke Idlib atas pelbagai kesalahan, termasuk tinggal secara haram selain terbabit dengan kegiatan jenayah.

Manakala lebih 5,000 lagi yang berada Istanbul kini ditahan polis kerana menyalahi permit tinggal di negara itu.

Tindakan berkenaan diambil kerana sebahagian besar mereka didapati berada di luar kawasan yang dibenarkan.

Di bawah polisi sebelum ini, mana-mana pelarian Syria yang berdaftar secara sah, mereka tidak dibenarkan berpindah randah atau bergerak sesuka hati ke tempat lain.

Menurut portal Middle East Eye (MEE), sejak minggu lalu pihak berkuasa Turki meningkatkan rondaan dan serbuan ke atas kawasan kediaman yang menempatkan pelarian Syria.

Bagi sesiapa yang gagal menunjukkan dokumen, mereka akan terus ditahan tanpa banyak soal.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, Pejabat Gabenor Istanbul mengesahkan operasi yang dilakukan.

“Kami menghantar pulang pelarian yang memasuki Turki secara haram,” petik laporan itu.

Bagi mana-mana yang memiliki dokumen tetapi berada di luar kawasan yang dibenarkan, pelarian berkenaan diberikan tempoh sehingga 20 Ogos depan. Jika masih ingkar, mereka yang ditahan akan diusir.

Aktivis mendakwa pihak berkuasa Turki telah memaksa pelarian menandatangan “dokumen penghantaran pulang secara sukarela” ke Idlib.

Dalam reaksinya kepada MEE, pembangkang Syria di Turki, Khaled Khoja khuatir dengan langkah terbaru itu.

“Kerajaan Turki mempunyai alasan mengenai pelarian haram, tetapi ia boleh dibuat dengan cara yang lebih baik bukannya meletakkan nyawa mereka dalam keadaan berisiko. Mereka dihantar ke zon perang,” katanya.

Keputusan itu dikaitkan dengan kalahan calon parti pemerintah dalam pilihanraya pihak berkuasa tempatan Istanbul pada Jun lalu yang memaksa pentadbiran Presiden Reccep Tayyip Erdogan mengambil pendekatan lebih keras ke atas pelarian Syria di negaranya.

“Akar umbi parti merungut mengenai pelarian Syria yang membuatkan pengudi marah. Ramai mereka yang dalam parti percaya bahawa kemelut ekonomi serta krisis pelarian telah menyumbang kepada kekalahan,” kata sumber dalaman parti pemerintah AKP kepada portal MEE.

Sebelum ini Erdogan disanjung kerana memberi kebenaran kepada untuk menerima lebih tiga juta pelarian mencari perlindungan di Turki.

Namun selepas bertahun-tahun, desakan dalaman memaksa beliau mengambil langkah drastik bagi memenangi semula hati rakyat Turki.

Berdasarkan maklumat yang dikumpul Piar, agensi yang melakukan kaji selidik berhubung mendapati rata-rata rakyat Turki berpendapat isu pelarian Syria menduduki tempat kedua penting selepas pengangguran.

85 peratus responden berkata mereka tidak menyokong dasar semasa kerajaan Turki yang menerima pelarian Syria.

Selepas koflik di negara sendiri bakal memasuki tahun kesembilan, nasib lebih 3.7 pelarian Syria yang berlindung di Turki kini bergantung penuh kepada ihsan Ankara. Hakikatnya, Erdogan sendiri di persimpangan. Sama ada akur dengan suara akar umbi rakyat sendiri atau terus kehilangan majoriti.

Jika ditakdirkan beliau tersingkir pada pilihan raya nanti, apa akan jadi pada pelarian ini?. Gambar Hiasan/ Syria Care

Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini