Travelog MKSC 7.0 : Kem Zamka, Al (Bahagian 1)

23

7 Disember 2018
Hari ketujuh
Misi Kemanusiaan Syria Care 7.0

Hidup di kawasan konflik tanpa sebarang bantuan luar benar-benar menguji kesabaran dan iman pelarian Syria.

Ketika dalam perjalanan menziarah Kem Zamka di Albab, kami difahamkan bahawa sudah tiga bulan pelarian di situ tidak mendapat sebarang bantuan. 

“Bagaimana mereka bertahan?” tanya Ustazah Sakinah kepada petugas kami di sana. 

“Hanya menunggu mati”, jawab salah seorang daripada mereka.

Ketika perbualan itu diterjemah Ustazah Siti Sakinah, ia benar-benar menyentap hati. Allahuakbar. Kasihannya mereka.

Tiba di kem tersebut, kelihatan banyak khemah yang sangat daif. Anak-anak comot dan berlumpur malah ada yang memakai selipar sahaja di musim sejuk. 

Terasa sebak ketika itu namun terpaksa saya tahan. Kemudian kami dibawa ke sebuah khemah. Melihat penderitaan mereka, di sini air mata saya hampir tumpah.

Bayangkan, rumah kecil diperbuat daripada tanah liat, ditutup dengan kanvas plastik sahaja, beralaskan pelapis nipis, memang terasa sejuk sangat. 

Mereka tidak memakai pakaian tebalpun. Anak kecil dalam rumah hanya berselimut untuk memanaskan badan.

Ruang dapur sempit dan tiada peralatan yang mencukupi. Tidak kelihatan sebarang makanan di dapur mereka. Bekalan air bersih juga terhad. Mereka mengharapkan agar satu telaga dapat digali di kawasan berkenaan.

Sedang asyik bersembang, tiba-tiba Ustazah Siti Sakinah mendapat panggilan telefon.

“Kita perlu pergi sekarang, Dr. Hussam kata kawasan ini tak selamat”, kata ustazah. 

Bergegas kami keluar dari khemah dan terus menaiki kereta meluncur laju keluar dari kawasan tersebut. Semasa perjalanan keluar, kami melewati suatu kawasan, kami diberitahu bahawa kawasan puak ‘pemerintah’ tidak jauh dari situ. Terus berdebar hati saya, bermacam-macam perkara terbayang di fikiran. 

Ketika itu, jam telah menunjukkan pukul 5 petang sedangkan kami belum menjamah apa-apa sejak pagi. Kami berhenti di salah sebuah kedai makan di situ untuk mengalas perut. Rakan petugas kami menunjukkan kawasan tersebut dari tingkap. Tipulah kalau saya kata tidak kecut perut. Di sebalik kebimbangan, saya tidak henti berdoa semoga kami dilindungi Allah sehingga kami pulang ke tanah air. 

Selesai makan, hari sudahpun gelap. Pukul 6 petang sudah gelap kerana waktu siang yang pendek di musim sejuk ini. Perjalanan pulang sedikit mencabar. Sudahlah gelap, lampu jalan dan papan tanda juga tiada. Jalan pula agak teruk dan berlumpur membuatkan kami sekali sekala terlompat-lompat di dalam kereta. Konvoi kami dikepalai kereta lain yang dipandu oleh rakyat Syria yang membawa kami sehingga ke Souran. 

Dari situ kami berpisah dan meneruskan perjalanan terus ke pintu sempadan memasuki bandar Kilis. Sepanjang jalan, mulut terkumat-kamit berdoa supaya dihindari segala musibah.

Perjalanannya sungguh mencabar dan memenatkan tetapi pengalaman yang diperoleh sangat berharga. Banyak pengajaran yang saya dapat dan mungkin sedikit peringatan yang Allah ingin sampaikan kepada saya hari ini. 

“Apa yang kita nak jawab depan Tuhan nanti?” Memetik kata-kata petugas Turkiye Diyanet Vakfi semasa perjalanan pulang memberikan kesan kepada saya sehingga ke hari ini. 

“Apa yang aku dah lakukan untuk membantu mereka yang susah? Apa yang akan aku jawab pada Tuhan nanti?” Soalan ini menjadi inspirasi kepada saya untuk terus melakukan kerja-kerja seperti ini.

Ia sebenarnya pengalaman yang amat berharga di hari kesembilan yang juga hari terakhir kami memasuki Syria pada misi kali ini.

Sebelum ini, saya secara ‘personal’ meminta kepada petugas kami di Turki, Dr. Husamuddin As Saraqbi untuk berjumpa dengan anak-anak yatim di Syria selepas mengetahui kami diberi peluang untuk masuk ke sana sebelum ini. 

“Alright, I’ll try”, kata Dr. Hussam.

Pada posting seterusnya saya akan kongsi pengalaman bertemu dengan anak yatim yang ditaja melalui Syria Care.

Nurul
Koordinator Projek Tajaan Anak Yatim Syria
Misi Kemanusiaan Syria Care 7.0
Syria

Kongsi Artikel Ini