Travelog MKSC 7.0 : Hala Abdul Majid penghuni rumah kontena

3

Hari kedua
Misi Kemanusiaan Syria Care 7.0
Hala Abdul Majid penghuni rumah kontena.

Melangkah masuk ke rumahnya, aduh sejuknya terasa di kaki saya. Rumah yang kecil tak dapat memuatkan kami semua. Hanya saya dan Ustazah Siti Sakinah yang dapat masuk.

Lantai berlubang sana sini dengan bumbung yang bocor…terasa sedih sungguh.

Saya terfikir, kontena ini diperbuat daripada besi, apabila musim sejuk, memang terasa sejuk sangat. Barangkali musim panas, pasti terasa panas membahang. Tidak seperti hotel kontena kita di sini, cantik dan lengkap penghawa dingin dan sebagainya. 

Hala merupakan seorang balu yang melarikan diri bersama 3 anaknya dari selatan Damsyik setahun yang lepas. Suaminya meninggal dunia dalam tahanan selepas 4 tahun berada dalam penjara regim Bashar al Assad di Syria. 

Dia sekeluarga melarikan diri kerana tidak lagi sanggup menderita di tanah airnya sendiri. Rumahnya telah hancur menyembah bunyi. Saat dia menceritakan kepada kami, ia penuh dengan emosi. Wajahnya menceritakan tekanan yang dilalui.

Allahu, besar dugaan mereka. Sudahlah jauh dari kampung halaman, makanpun kadang ada kadang tidak, tempat tinggal pula sebegitu rupa menyebabkan dia mengalami tekanan emosi. 

Sesekali cuba kita bayangkan kita berada di tempat mereka. Sungguh kuat semangat mereka. Kita di sini cukup serba serbi, tapi bersyukurkah kita? 

Selepas mendengar sendiri kisah Hala, Syria Care telah menghulurkan bantuan dalam bentuk wang ringgit dan juga pek makanan. Mudah-mudahan dapat meringankan sedikit sebanyak beban mereka di sana. 

Nurul 
Misi Kemanusiaan Syria Care 7.0
Lubnan 30 November 2018

Kongsi Artikel Ini