Apa nak jadi.?

8

Gambar Aseel Qatran meniarap di sisi kakaknya yang mati tertimbus akibat serangan udara yang dilancarkan regim Bashar al Assad ke atas Khan Sheikhoun pada Selasa (26 Februari 2019) menjadi tular di laman sosial dan media antarabangsa.

Dalam keadaan yang berlumuran darah, dia yang kehilangan dua saudara kelihatan binggung dengan apa yang berlaku.Imej itu mengundang simpati seantero dunia.

Namun, selepas 72 jam gambar berkenaan tersebar luas, tiada satupun usul yang dikemukakan ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menghentikan pembunuhan besar-besaran ke atas orang awam di Idlib.

Reaksi kebanyakan pemimpin antarabangsa ketika ini lebih tertumpu kepada ketegangan dua negara, Pakistan dan India serta perkembangan politik di Algeria tanpa memberi perhatian sepatutnya kepada pembunuhan sesuka hati yang dilakukan regim di Khan Sheikhoun, Maaratul Nu’man dan beberapa tempat lain di Syria.

Apakah angka 45 orang awam termasuk 15 kanak-kanak dan 15 wanita menjadi korban dalam siri serangan roket dan udara yang dilancarkan ke atas Idlib sejak 9 Februari 2019 sehingga semalam dan jumlah mereka 30,000 yang melarikan diri dari kawasan berkenaan masih dianggap bilangan yang kecil.?

Ia satu lagi siri bencana kemanusiaan terbaru, selepas hampir setahun usaha besar-besaran yang dilakukan regim ke atas Timur Ghoutah pada 2018, di mana penduduknya dipindah secara paksa ke Idlib, tempat yang dulu dianggap pilihan yang ada untuk berlindung dari kepungan dan serangan.

Belum sempat untuk bermimpi menikmati rasa “lega” dari pengeboman, mereka sekali lagi menjadi sasaran.Pertemuan tiga mata antara Presiden Bashar al Assad, Presiden Hassan Rouhani dan Reccep Tayyip Erdogan di Sochi, 14 Februari lalu nyata tidak memberi sebarang impak kepada keganasan Bashar.Bahkan sehari selepas ia berakhir, Khan Sheikhoun, Maaratul Nu’man di Idlib dan sebahagian kecil kawasan di Hama diserang bertalu-talu.

Perkembangan itu menimbulkan tanda tanya sejauh mana ia mempengaruhi pentadbiran Damsyik.Bashar menggunakan alasan untuk menghapuskan ancaman kumpulan penentang dan atas keperluan itu, ia menghalal darah rakyatnya sendiri dengan melancarkan serangan semaksima mungkin ke kawasan paling hampir dengan zon bebas tentera (DMZ) di Idlib.

Di bawah persetujuan bersama yang direstui Turki dan Rusia pada September lalu, ia menetapkan syarat kumpulan anti kerajaan perlu mengeluarkan senjata berat dari kawasan zon penampan yang berjarak 15 hingga 20 kilometer.Namun, ia tidak diendahkan.

Antaranya Hayat Tahrir al Sham (HTS) yang menguasai sebahagian Idlib.Atas alasan itu, Bashar menggunakannya sebagai kesempatan untuk terus menyerang dan seperti sebelumnya orang awam akan jadi sasaran.

Mereka mencari perlindungan di Idlib bukan sahaja terpaksa berdepan serangan tentera regim, malah konflik sesama sendiri menjadi satu lagi isu keselamatan yang tidak menampakkan sebarang tanda penyelesaian.Dalam serangan di Al Qusour pada 18 Februari lalu, sekurang-kurangnya 15 maut dalam siri serangan bom berkembar.Begitu juga di Deir az Zour, lebih 40,000 lari keluar dalam tempoh tiga bulan ekoran pertempuran berterusan kumpulan pro Kurdish, Syria Democratic Forces dengan IS.Inilah nasib pelarian Syria…

Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini