155 maut dalam sehari

Untitled

Sekurang-kurangnya 155 disahkan maut pada Ahad lepas akibat pelbagai serangan dan pertempuran di seluruh Syria.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sesawang rasminya, Syrian Observatory for Human Rights (SOHR) mengesahkan korban terbesar membabitkan anggota kumpulan IS di mana lebih 80 telah terbunuh.

“26 anggota IS telah terbunuh termasuk seorang komander penting di dalam pertubuhan selepas pengeboman oleh Tentera Bersekutu dan ketika pertempuran menentang Syrian Democratic Forces di bahagian selatan pinggir Al Hasakah,” lapor SOHR.

Katanya lagi dalam pertempuran Kafr Hindi di pinggir bandar Salqeen, 22 anggota IS yang dipercayai rakyat Iraq terbunuh.

Ia sebahagian daripada angka keseluruhan membabitkan korban anggota IS di seluruh Syria.

Sementara itu, sepanjang pertempuran pada hujung minggu lalu, lebih 49 tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya maut.

Pada hari yang sama juga, lima kanak-kanak antara 11 orang awam dilaporkan telah menjadi mangsa pengeboman pesawat Tentera Bersekutu selepas kampung Al Jazza, di Hasakah menjadi sasaran serangan udara.
Di Al Baghuz al Foqani pula, ia meragut dua nyawa penduduk yang tidak berdosa.

Selain pertempuran, keganasan tanpa henti ke atas orang awam turut menyumbang kepada angka korban. Di Idlib seorang lelaki yang bekerja di sebuah premis tukaran wang telah ditembak mati ketika dalam perjalanan di Afs-Samin.

Manakala di Ayn Issa, seorang maut ketika melalui sebatang jalan apabila bom yang dipasang pada kenderaan tentera meletup.

Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini