Sampah jadi punca rezeki

Untitled
Pertubuhan amal antarabangsa, Action Against Hunger menyediakan permit sementara kepada pelarian Syria bagi membolehkan mereka menghasilkan barangan kitar semula dengan menggunakan surat khabar dan kadbod.
Buat permulaan, ia menyediakan peluang kepada 1,200 orang peserta di mana hampir separuh daripada mereka terdiri daripada wanita yang hidup di bawah paras kemiskinan.
Di bawah program berkenaan, mereka ditugaskan untuk mengumpul dan mengasingkan sampah yang dipungut.
Selepas diasingkan dan melalui beberapa proses tertentu, bahan berkenaan akan digunakan untuk menghasilkan pelbagai barangan termasuk beg tangan dan meja sisi.
Setiap peserta yang dipilih kemudian diberi kontrak selama 50 hari beserta dengan latihan dan elaun JOD12 atau AS16.90 sehari.
Bagi Sameera al Salam, 55 tahun, dia berharap pembabitannya dalam projek itu akan memperbaiki keadaan hidup dan mengurangkan kemiskinan yang ditanggungnya selepas lari dari Syria sejak 2012.
Dia juga menyimpan hasrat mendapat untuk pergi lebih jauh sekiranya diberi kontrak baru terutama dalam bidang pemasaran dan penjenamaan.
Menurut ibu beranak dua itu, dia terpaksa menggalas tugas sebagai ketua keluarga selepas suaminya lumpuh akibat serangan angin ahmar.
Usahanya sebelum ini untuk mencari kerja di Jordan tidak dapat dibuat kerana undang-undang negara itu yang menyekat pelarian bekerja.
Projek Action Against Hunger, kini memasuki fasa kedua selepas ia dimulakan tahun lalu, dengan dana yang disediakan kerajaan Jerman.
Usaha itu bukan perkara mudah kerana terpaksa berdepan dengan beberapa halangan termasuk budaya yang melarang perempuan bekerja.
Ia menjadi bertambah rumit dengan keadaan yang tidak selesa kerana persekitaran bekerja dengan sampah.
“Pertama perlu fokus untuk memecahkan budaya malu di kalangan wanita. Kemudian kami mahu idea bagaimana mereka mendapat manfaat daripada bahan kitar semula,”kata pengarah program, Sajeda Saqallah.
Salah seorang peserta, Awsaf Qaddah, berkata dia bangga bekerja sebagai pengutip sampah meskipun mempunyai sedikit perasaan malu sebelum ini.
“Saya tidak mempunyai suami, bapa atau adik beradik lelaki untuk membantu. Saya bangga melakukan kerja ini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peserta, Sahira Zoubi, ibu beranak lima berkata, kaedah yang dgunakan Action Against Hunger yang mewujudkan rangkaian komuniti sesama wanita membantunya meringan beban yang ditanggung dan merasakan semua mereka seperti adik beradiknya.
Selain kerap berjumpa untuk mencambah idea mereka juga berkongsi berita di laman WhatsApp.
“Melakukan projek ini menyeronokkan kerana awak datang ke sini dan lupa masalah,”katanya.
Tulisan ini dipetik dan diolah dari Al Arabiya.
Razali Awang Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini