Sundus Filfleh seorang guru dan ibu dari Latakia, di barat Syria kini bergelut untuk mendapat sokongan bagi membesarkan dua anak perempuannya, selain berdepan dengan stigma masyarakat kerana pernah berada dalam tahanan selepas ditangkap kerana terbabit dengan tunjuk perasaan.
Katanya, selepas dibebaskan dari penjara, soalan pertama orang akan tanya sama ada dia telah dirogol.
“Masyarakat melihat wanita yang dibebaskan dari penjara toroartsgroup dengan penuh syak wasangka.
“Mereka membuang wanita yang dibebaskan dari penjara,” katanya kepada Voice of America (VOA).
Menurut Sundus, tentera regim menangkapnya ketika terbabit dengan tunjuk perasaan pada 2011. Ketika itu dia cuba melarikan diri bersama penunjuk perasaan yang lain selepas pihak berkuasa melepaskan tembakan ke arah mereka untuk menyurai perhimpunan.
Dia kemudian diberkas dan selepas itu disumbat ke dalam penjara hampir setahun.
Menurut ibu tunggal itu lagi, apa yang berlaku mengubah nasib keluarga dan pandangan masyarakat terhadap dirinya.
“Suami saya tidak lagi menerima saya. Kami bercerai selepas saya dibebaskan. Ramai banduan yang disisihkan pasangan dan keluarga masing-masing selepas mereka dibebaskan,” katanya.
Cerita Sundus lagi, ketika ditahan dia sedang mengandung.
Bagaimanapun akibat siksaan yang diterima daripada pengawal penjara menyebabkan kadungannya lahir sebelum cukup bulan.
Dia kini bebas dan meneruskan hidup di Idlib sebagai pekerja sosial yang membantu wanita lain yang senasib dengannya.
“Pengalaman terselamat dari penjara telah mengambil perasaan takut dari hati ini. Kami mesti lawan pengalaman ngeri ini,” katanya.
Menurut laporan terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), wanita Syria telah mengalami pelbagai bentuk penderaan termasuk keganasan seksual, penderaan dan trauma dengan pelbagai cara ketika mereka berada dalam penjara.
Ia juga menyokong pengalaman Sundus bahawa penahanan telah mengubah hidup wanita buat selama-lamanya.
“Bagaimanapun terikat dengan nilai masyarakat dan kemuliaan adat, lelaki cenderung untuk diraikan oleh masyarakat ketika dibebaskan, manakala wanita terpaksa berdepan dengan perasaan malu, stigma dan penolakan suami atau ibu bapa yang beranggapan mereka telah dirogol ketika ditahan,” petik laporan itu sebagaimana disiarkan portal VOA.
Penolakan masyarakat turut mendorong wanita Syria bangkit dan membantu mereka yang senasib bagi menghadapi trauma yang dilalui.
Salah seorang daripada mereka Walaa Ahmad, yang mengasaskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Release Me Foundation di Idlib.
Ia menyediakan perkhidmatan rawatan psikologi dan pendidikan kepada mana-mana wanita yang menderita ketika dan selepas ditahan di Syria.
“Cabaran besar wanita ini berdepan dengan penerimaan masyarakat.
Kebanyakan wanita dicerai suami, disisih ibu bapa dan mereka mendapati tiada tempat untuk bergantung hidup,” katanya.
Tidak seperti Sundus, Walaa yang ditahan pada 2014 dan dibebaskan pada 2017, enggan bercerita pengalamannya sepanjang tiga tahun berada dalam tahanan di Penjara Adra di Damsyik.
Angka rasmi wanita Syria yang berada di penjara dan pusat tahanan di seluruh Syria tidak dapat dipastikan.
Menurut Syrian Observatory for Human Rights (SOHR), berdasarkan dokumentasi yang dibuat secara keseluruhan terdapat 140,000 masih merengkok sejak kebangkitan anti kerajaan bermula pada Mac 2011.
Ia mendakwa sepanjang tempoh lebih tujuh tahun 15,000 telah mati termasuk wanita dan kanak-kanak akibat penderaan yang dilakukan ke atas mereka.
Artikel ini telah dipetik dan diolah dari www.voanews.com/a/detained-syrian-women-face-stigmatization-upon-release/4504442.html.
Razali Awang
Media Syria Care