1,000 tahanan dari Darayya dibunuh

Untitled
Sekurang-kurangnya 1,000 daripada 3,500 penduduk Darayya di Damsyik yang ditangkap, disahkan meninggal dunia ketika berada dalam tahanan tentera regim Bashar al Assad.
Angka itu diperolehi daripada notis senarai orang mati yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran.
 
Sejak musim bunga, regim menyenaraikan beratus nama mereka yang disahkan meninggal dunia sebaik kebangkitan rakyat bermula pada Mac 2011.
Menurut portal orient-news.net, dalam senarai yang diumumkan sejak beberapa minggu lalu, ia turut mengisytihar kematian beberapa aktivis dari bandar itu.
 
Antara mereka, Islam Dabbas, Yehya Sharbaji, Majd dan Abdulsattar Kholani, disahkan meninggal dunia pada hari dan tempat yang sama iaitu 15 Januari 2013, di Penjara Saydnaya.
Berdasarkan maklumat berkenaan, aktivis hak asasi manusia percaya mangsa telah dibunuh secara beramai-ramai.
 
Sebelum itu, 30 senarai mereka yang mati ketika ditahan telah dihantar ke bandar Yabrud manakala sekitar 800 lagi ke Homs, Hama dan Hasaka.
Dalam laporannya, The Washington Post mendakwa tahanan berkenaan menemui ajal antara 2013 hingga 2015.
 
Meskipun pengesahan rasmi telah dibuat tetapi mayat mangsa tidak dipulangkan kepada anggota keluarga dan lokasi pengebumian mereka juga tidak dinyatakan.
 
Bekas tahanan yang dibebaskan dari Penjara Saydanaya, menyifatkan pembunuhan, penderaan, penafian hak mendapat rawatan dan kebuluran adalah satu kebiasaan.
 
Sehingga kini, jumlah sebenar mereka yang dibunuh ketika berada dalam tahanan tentera regim masih menjadi tanda tanya.
 
Menurut Syrian Network for Human Rights (SNHR), lebih 104,000 orang rakyat Syria menjadi tahanan atau hilang sejak 2011.
90 daripada mereka dikatakan ditahan tentera regim dan sekutunya, manakala 10 peratus lagi oleh kumpulan anti kerajaan.
 
Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini