Cuti sekolah datang lagi. Peluang keemasan untuk mereka yang bersekolah untuk berehat seketika.
Tempoh seminggu yang diserikan lagi dengan sambutan Hari Raya Korban, memberi masa untuk semua berkumpul. Ibu, bapa, anak pinak, saudara mara serta rakan taulan mengambil kesempatan untuk bersama.
Ia satu nikmat bagi rakyat negara ini. Aman damai, tenteram dan harmoni.
Tetapi keadaan itu mustahil untuk dikecapi mereka yang berada di kawasan bergolak seperti Syria, Yemen, Arakan dan lain-lain lagi.
Bagi mereka putaran bumi, sama ada siang atau malam keadaannya tetap sama, apa yang berubah adalah cerah ke gelap, gelap ke cerah.
Segalanya serupa, yang berulang adalah cerita duka.
Keriangan yang mereka ada tidak sama dengan kita di sini. Label sebagai pelarian satu ujian, usahkan kanak-kanak, mereka yang dewasa dan berusiapun boleh tewas.
Namun cerita anak-anak pelarian Syria yang cekal, membuka hati betapa mereka tidak mudah rebah dengan dugaan meskipun sebahagiannya tidak pernah mengecapi dan mengenal erti aman kerana ketika dilahirkan tanah pertiwi mereka telah disirami darah konflik.
Kisah Elham yang menjaja tisu di jalanan di Aviglar, barat Istanbul untuk membantu meringan beban keluarga membayar sewa rumah sebahagian dari ketabahan itu.https://www.facebook.com/syria.care/photos/a.242211945865651/1820081961411967/?type=3&theater .
Masih tekad untuk belajar walaupun telah lama tercicir.
Di celah-celah pejalan kaki yang lalu lalang, dia yang berusia lapan tahun menggunakan masa yang ada untuk melakar lukisan.
Buku dan dakwat adalah hasil sumbangan orang ramai yang bersimpati dengan kesungguhan yang ditunjuknya.
Cerita si kecil ini, harapannya untuk bersekolah punah selepas melarikan diri dari konflik di Deir Azzour, tiga tahun lalu.
Ketika ditanya “Awak rindu sekolah?”.
“Sekolah saya telah musnah”, balasnya yang masih bercita-cita untuk meneruskan bakat dalam bidang seni satu hari nanti.
Dalam usia sementah itu, Elham sepatutnya dia berada dalam bilik darjah, bukannya di tepi jalan.
Berbanding dengan Elham, nasib seorang lagi kanak-kanak, Muammar lebih malang.https://www.facebook.com/syria.care/photos/pcb.1819990111421152/1819962764757220/?type=3&theater.
Perang telah “mencacatkan” dirinya.
Dia bernasib baik kerana terselamat dari serangan namun terpaksa menanggung azab.
Tulang kakinya patah dan membengkok manakala wajahnya pula herot.
Tanpa bantuan orang ramai, masa depan kanak-kanak berusia tujuh tahun suram dan tanpa rawatan yang rapi, dia akan menanggung derita sepanjang hayat.
Dalam keadaan yang serba dhaif, keluarganya tidak mampu memberikan rawatan untuk memperbetul kecacatan yang dialami.
Kisah Elham dan Muammar, antara cebisan kecekalan yang ditunjukkan pelarian Syria.
Dua kisah ini, membezakan antara anak-anak kita dengan anak-anak pelarian Syria. Ia menginsafkan kita betapa bersyukurnya menjadi rakyat Malaysia yang hidup dalam keadaan penuh nikmat yang dikurniaNya.
Razali Awang
Media Syria Care