Impian berbelas juta pelarian Syria yang bertebaran sama ada di dalam dan luar negara untuk kembali ke tempat asal hanya tinggal angan-angan berikutan pelaksanaan undang-undang Law Ten oleh regim Bashar al Assad.
Di bawah peruntukan itu, Damsyik telah memberi masa selama 30 hari kepada mereka atau ahli keluarga untuk membuat tuntutan hak milik ke atas hartanah yang dimiliki sebelum ini.
Jika tidak harta mereka akan dirampas dan menjadi milik kerajaan.
Dekri berkenaan diperkenal pada 2 April 2018 dan berkuatkuasa sembilan hari kemudian.
Menjelang tempoh masanya yang akan tamat pada 10 Mei depan, perkara itu sama sekali mustahil dilakukan oleh pelarian.
Dalam reaksinya, Kementerian Luar Negara Jerman mengkritik dasar yang dibuat Damsyik yang disifatkan sebagai “perbuatan khianat yang licik” dan kini sedang berusaha untuk menyekat ia dari dilaksana dengan menggunakan bidang kuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut laporan The Times, ia akan menggunakan pendekatan diplomatik untuk menekan Rusia bagi menghalang Law Ten dari dikuatkuasa.
“Prosedur ini boleh membawa kepada kesan politik dalam negara Jerman. Ramai orang Syria yang tinggal di luar negara tidak lagi mempunyai insentif untuk pulang, ” kata Bijan Djir-Sarai, Ahli Parlimen Jerman kelahiran Iran.
Di bawah undang-undang baru itu, sesiapa yang ingin mendaftarkan semula hartanah yang pernah dimiliki perlu mendapat kelulusan dari agensi keselamatan regim Bashar, yang hanya beroperasi di kawasan yang dikuasai kerajaan.
“Rejim sedang cuba mengubah keadaan bagi kepentingan diri sendiri dan penyokongnya dengan menjadikan kepulangan sebahagian besar pelarian lebih sukar,” lapor portal itu.
Menurut The Times, daripada lebih 13 juta yang menjadi pelarian, sekurang-kurangnya 1.5 juta daripada mereka dilabel sebagai “pengganas” oleh regim Bashar.