SLOGAN ‘ASSAD PERLU BERUNDUR’ SIA-SIA-BRITAIN

Whatsapp Image 2018 03 22 At 15.42.54

Slogan “Assad perlu berundur” tidak membawa sebarang erti dalam usaha menjatuhkan kepimpinan Presiden Bashar al Assad.

Setiausaha Luar Britain Boris Johnson berkata, cara paling baik pada masa sekarang adalah kembali ke meja rundingan di Geneva dan memulakan rangka perlembagaan baru negara itu.

Beliau mengesyorkan cadangan berkenaan selepas mengambil kira keadaan semasa di Syria di mana lebih 75 peratus kawasannya masih dikuasai tentera kerajaan dan sekutunya.

Selain itu, cadangan untuk kembali ke meja rundingan dibuat berikutan pembunuhan besar-besaran yang masih berterusan ke atas orang awam.

Menurut Sputnik News, kenyataan itu dibuat ketika Johnson memberikan jawapan kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Parlimen Britain mengenai cara yang boleh diguna negara itu bagi menyingkir atau mendakwa Bashar.

Selepas kebangkitan rakyat pada 15 Mac 2011, usaha penyingkiran regim Bashar menjadi keutamaan negara Barat khususnya Amerika Syarikat, Britain dan Perancis.

Keadaan menjadi semakin rumit apabila pelbagai negara campur tangan termasuk Rusia yang membekalkan senjata dan peralatan ketenteraan kepada Damsyik.

Akibatnya, sejak tujuh tahun lalu, lebih 500,000 rakyat negara itu terkorban manakala 13 juta lagi terpaksa menjadi pelarian sama ada di dalam atau di luar negara.

Beberapa siri rundingan sebelum ini termasuk di Geneva dan Astana dikatakan gagal kerana ia hanya membincangkan isu penyelesaian politik dan gencatan senjata dengan kumpulan penentang kerajaan tanpa menyentuh mengenai pelan pengunduran Bashar.

Kongsi Artikel Ini