Tujuh tahun lalu, sekumpulan 15 remaja menconteng dinding bangunan di Daraa dengan grafiti anti Presiden Bashar al Assad. Dalam usia yang baru menginjak usia belasan tahun, mereka teruja dengan gelombang kebangkitan rakyat yang mencabar kepimpinan pentadbiran “kuku besi” di Asia Barat.
Di sebuah negara sosialis, tindak tanduk itu, satu kesalahan besar. Apatah lagi di Syria kerana sepanjang sejarah ditadbir keluarga al Assad, ia telah dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai rekod hak asasi paling teruk di atas muka bumi.
Berita penahanan dan penderaan yang dilakukan ke atas tahanan membangkitkan kemarahan yang telah lama berakar umbi. Apatah lagi dengan penularan gambar dan video mangsa.
Dalam usia semuda itu, salah seorang daripada mereka, Hamzah Ali Khatib, tidak mampu menahan deraan teruk yang “dikerjakan”. Fizikalnya terpaksa mengalah, sehingga dia mati dalam tahanan dengan pelbagai kesan kecederaan.
Berita itu mengundang kemarahan rakyat. 15 Mac 2011, orang ramai keluar membanjiri jalan di Aleppo dan Damsyik. Ia dikenali sebagai “Day of Rage” atau Hari Kemarahan.
Tindakan keras pihak berkuasa sedikitpun tidak menjejaskan pendirian dan sebaliknya mereka terus bersuara dengan keras menuntut keadilan dan mendesak Bashar bersama suku sakatnya supaya berundur serta memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih pemimpin melalui sistem demokrasi.
Selain bantahan, orang ramai meminta supaya pulangkan hak kemanusiaaan yang selama ini dirampas dan dinafi kerajaan dipulangkan semula kepada mereka. Dalam erti kata lain, rakyat Syria menuntut kebebasan yang sepatutnya mereka kecapi.
Selepas tiga hari berdepan dengan penunjuk perasaan yang semakin mendapat sokongan ramai, pentadbiran Damsyik mengambil dasar lebih keras ke atas mereka yang berarak.
18 Mac 2011, empat penunjuk perasaan ditembak mati di Daraa selepas tentera melepaskan tembakan rambang ke atas orang awam yang berkumpul. Dari saat itu, bumi Syam dibanjiri darah di tangan pemimpin sendiri.
Kini selepas tujuh tahun, Arab Spring menyingkirkan pemimpin kuku besi Presiden Zine El Abidine Ben Ali di Tunisia dan Hosni Mubarak, di Mesir, tetapi tidak di Syria.
Sepanjang tempoh itu, penduduknya telah membayar harga nyawa yang tinggi kerana menentang regim Bashar. Lebih 500,000 rakyat telah menjadi korban dan angkanya sentiasa bertambah kerana secara purata sejak 2,555 hari lalu, serangan demi serangan ke atas orang awam telah dilakukan tanpa mengira masa.
Bumi Syam kini telah punah kerana perang yang dilancarkan ke atas rakyatnya sendiri. Konflik yang berlaku disifatkan paling teruk selepas Perang Dunia Kedua. Lebih separuh daripada lebih 23 juta populasi rakyat negara itu dan menjadi pelarian sama ada di dalam atau di luar negara.
Bahkan atas nama memerangi kumpulan penentang yang dilabelnya pengganas, serangan ke atas orang awam berterusan dilancarkan hingga ke saat ini.
Timur Ghoutah mengatasi rekod yang dipegang Aleppo pada 2016, sebagai kawasan penyembelihan manusia terbesar di alaf ini. Sejak 18 Februari lalu, lebih 1,200 penduduknya dibunuh dengan pelbagai senjata dan cara. Lebih menyayat hati, lebih 250 daripada mereka terdiri daripada kanak-kanak.
Angka kematian dan kecederaan bukan lagi pengukur kesengsaaran di Syria. Label sebagai “neraka dunia” juga tidak membawa apa-apa makna. Hakikatnya ketika masyarakat antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) memperjuang hak asasi manusia, nyawa mereka tiada lagi nilai di sana.
Konflik yang berlaku di bumi Syam menguji keprihatinan sesama kita. Ia satu cabaran kerana isunya tenggelam timbul di media arus perdana sama ada di dalam atau di luar negara. Tumpuannya berbeza jika dibandingkan tumpuan berita di Palestin dan Rohingya wal hal keadaan di Syria berpuluh kali lebih teruk dan buruk.
Hari ini, selepas tujuh tahun dalam keadaan yang masih tidak menampakkan penyelesaian terhadap konflik yang berlaku, orang awam di sana telah menjadi mangsa bukan setakat perang saudara, tetapi perang proksi kuasa besar dunia.
Dalam situasi sebegini, sampai bila kita hanya setakat menjadi pemerhati? Lakukan sesuatu untuk membantu mereka #stopkillngsyrians