Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) terpaksa menangguh penghantaran bantuan kemanusiaan ke Timur Ghoutah yang sepatutnya dibuat pada Khamis atas faktor keselamatan.
Mengikut jadual, misi berkenaan akan dibuat bersama agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bulan Sabit Arab Syria (SARC) akan memasuki Douma.
“Konvoi untuk hari ini ditangguhkan berikutan perkembangan keadaan semasa yang tidak membolehkan kita meneruskan operasi dalam keadaan ini,” kata Jurucakap ICRC , Ingy Sedky kepada AFP.
Berikutan penangguhan itu, semua trak yang membawa bantuan kemanusiaan tersadai di kawasan pemeriksaan tentera regim Bashar al Assad di Wafideen.
Ia kejadian kali kedua pada minggu ini, di mana misi berkenaan terpaksa digantung berikutan serangan berterusan yang dilancarkan Damsyik dan konco-konconya ke atas kawasan orang awam di Timur Ghoutah.
Isnin lepas, buat pertama kali sejak 18 Februari, 46 trak yang membawa bantuan memasuki zon itu.
Bagaimanapun terpaksa dilakukan dengan tergesa-gesa serta tempoh misinya dipendekkan berikutan serangan berterusan dari tentera kerajaan.
Menurut Middle East Eye, hampir separuh daripada bekalan makanan tidak boleh dihantar selepas pihak berkuasa Syria bertindak merampas bekalan ubat-ubatan dan bekalan perubatan daripada trak berkenaan.