Menziarahi Masjid Khalid ibn al-Walid

722204179 1356121213364935 7358155769562456108 n

Dalam perjalanan dari Damsyik ke Idlib, kami singgah di bandar Homs untuk menziarahi Masjid Khalid ibn al-Walid.

Homs merupakan bandar ketiga terbesar di Syria dan antara bandar yang paling terkesan sepanjang perang. Bertahun-tahun konflik telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada bandar ini dan penduduknya, namun seperti banyak tempat lain di Syria, kehidupan perlahan-lahan sedang kembali.

Perjalanan ke Homs pada hari itu bukanlah perjalanan yang mudah. Walaupun ketika itu masih siang, kabus yang sangat tebal menyebabkan jarak penglihatan amat terhad. Dalam keadaan jalan yang panjang dan tidak banyak penanda arah yang jelas, saya hanya mampu berdoa agar perjalanan kami dipermudahkan. Alhamdulillah, sahabat kami yang memandu sangat tenang dan berhati-hati.

Apabila kelihatan bandar Homs di hadapan, hati terasa sedikit lega.

Kami terus menuju ke Masjid Khalid ibn al-Walid yang terletak di tengah bandar. Masjid ini bukan sekadar mercu tanda Homs, tetapi turut menempatkan maqam Khalid ibn al-Walid RA. Di dalamnya juga terdapat maqam anak beliau, Abdul Rahman ibn Khalid RA serta maqam Abdullah ibn Umar RA.

Berdiri di situ membuatkan saya terfikir betapa jauhnya para sahabat bermusafir dari Madinah Al-Munawwarah demi menyampaikan dakwah Islam ke bumi Syam.

Lebih dari 1,400 tahun kemudian, nama mereka masih disebut dan jasa mereka masih dikenang oleh umat Islam di seluruh dunia.

Ketika menziarahi tempat ini, saya teringat kepada rakyat Syria yang saya temui sepanjang misi kemanusiaan ini.

Walaupun berdepan peperangan, kehilangan dan kesusahan yang tidak mampu kita bayangkan, mereka tetap memilih untuk meneruskan kehidupan. Mereka kembali ke kampung halaman, membaiki rumah yang rosak dan berusaha membina semula apa yang telah musnah.

Perjalanan ke Homs pada hari itu bukan sekadar membawa saya dan tim ke sebuah masjid bersejarah.

Ia juga mengingatkan saya bahawa bumi Syam sejak dahulu lagi dibina oleh insan-insan yang tabah, sabar dan sanggup berkorban demi sesuatu yang lebih besar daripada diri mereka sendiri.

Dan sehingga hari ini, semangat itu masih dapat dilihat pada rakyat Syria yang sedang berusaha membina semula kehidupan mereka.

Siti Sakinah binti Meor Omar Baki,
Pengerusi Syria Care,
Misi Kemanusiaan Syria Care 20.0
24 Januari 2026

: Maybank – 5505 1424 0118
www.syriacare.org.my/AmalAid

#iamahumanitarianworker #travelogmisikemanusiaansyriacare #misikemanusiaansyriacare20

Kongsi Artikel Ini